![](https://malaysiaaktif.my/wp-content/uploads/2019/09/IMG-20190913-WA0080.jpg)
Laporan/foto: Kenny Thomas (Kota Kinabalu)
KOTA MARUDU, 13 Sept (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Kebangsaan adalah ruang masa yang bertepatan untuk mengetepikan fahaman politik bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme kepada tanah air tercinta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Datuk Anita Baranting berkata adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat tanpa mengira latar belakang untuk mendidik dan menyemai semangat cintakan negara agar erti kemerdekaan sentiasa dihayati oleh seluruh penduduk di daerah ini.
Menurut beliau, hanya dengan mengekalkan semangat perpaduan, kesatuan, sikap hormat-menghormati dan persaudaraan yang sedia terjalin dalam kalangan penduduk di daerah ini khususnya dapat melahirkan generasi yang berkualiti sekali gus memacu negeri Sabah ke arah yang lebih cemerlang.
“Satu titik persefahaman telah pun kita capai dan kerajaan tidak akan hilang fokus malah akan terus membela nasib rakyat dengan mendahulukan kepentingan serta kesejahteraan hidup rakyat.
“Kerajaan terus komited untuk melaksanakan agenda pembangunan termasuklah projek perumahan mampu milik, menambahbaik infrastruktur jalan raya dan prasarana awam, meningkatkan kualiti khidmat kesihatan, pendidikan dan latihan kemahiran seterusnya menangani kos sara hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Kota Marudu 2019, di Padang Pekan Kota Marudu, pada Khamis.
Dalam pada itu, Anita turut menyeru agar seluruh penduduk untuk mencari peluang memajukan diri termasuklah memperbaiki sahsiah dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kerakusan berita palsu serta tohmahan negatif.
“Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal tetapi kita juga harus berwaspada terhadap penjajahan mental melalui pengaruh dan amalan yang merosakkan diri,” katanya.
Sebanyak 36 kontinjen dengan kekuatan lebih 1,000 orang peserta mengambil bahagian dalam acara perbarisan terdiri daripada tiga kategori termasuklah jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan, unit beruniform sekolah rendah dan menengah.
Acara pertandingan perbarisan menyaksikan enam kontinjen masing-masing mendapat tempat bagi setiap kategori yang dipertandingkan.
Pasukan St. John dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Marudu mengungguli tempat pertama bagi kategori Unit Beruniform Sekolah Menengah manakala Kadet Polis SMK Kota Marudu dan Kadet Remaja Sekolah SMK Kota Marudu masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga.
Bagi kategori pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan menyaksikan Borneo Samudera Sdn. Bhd. meraih johan, Parti Warisan Sabah P168 Kota Marudu di naib johan dan Kawasan Rukun Tetangga Kota Marudu di tempat ketiga.
Manakala bagi kategori jabatan kerajaan negeri dan persekutuan dimenangi oleh Pejabat Pendidikan Daerah Kota Marudu di tempat pertama, diikuti Jabatan Pertanian Kota Marudu di tempat kedua dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kota Marudu di tempat ketiga.
Hadir sama, Pegawai Daerah, Arnold Joibi; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Marudu, ASP Hartisyah Abduhu; Ketua Bahagian Parti Warisan Sabah, Majamis Timbuongn Timbalan Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat, Laduing Panisipan Jamari dan Ketua Daerah Kota Marudu, OKK Matlunad Agok.
ER