
Laporan/foto: Zaidi Jamin(Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Warga emas merupakan aset penting kepada negara kerana mereka memiliki kepakaran, pengalaman, dan ilmu yang mampu mempengaruhi kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara.

Memalu Gong..Dr.William (empat dari kiri) Dr. Premala (ke enam dari kanan) ketika merasmikan sambutan bersama-sama tetamu jemputan dan serta kakitangan hospital.
Pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dr. William Gotulis berkata usia emas bukanlah titik akhir bagi mereka untuk terus menyumbang tenaga dan idea kerana kemahiran yang mereka miliki sukar dicari ganti serta mampu mempengaruhi kelangsungan kepada pembangunan dan kesejahteraan negara.
Katanya jumlah warga emas di Malaysia sentiasa bertambah setiap tahun dan berpandukan kepada takrifan yang dibuat di “World Assembly On Ageing 1982” di Vienna, warga emas ditakrifkan kepada mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

Kakitangan Unit Geriatrik HQE turut memberi panduan berkaitan langkah-langkah awal agar golongan warga emas terus cergas dan sihat dan terus aktif.
‘Setiap warga emas bukan saja harus prihatin kepada kesihatan peribadi, sebaliknya amat digalak terus melakukan aktiviti harian secara aktif.
“Kecergasan diri setiap warga emas pasti mempengaruhi minda dan emosi seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan bersama,” jelasnya.

Dr.William (Tengah) ketika melawat tapak pameran di ruang lobi hospital sejurus merasmikan sambutan Hari Warga Emas peringkat HQE 2019.
Dr. William berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat HQE bertempat di Auditorium Utama, pada jumaat.
Tambahnya, setiap individu khususnya warga emas digalakkan sentiasa melakukan aktiviti yang digemari termasuklah bersenam kerana kesihatan diri memerlukan keseimbangan di antara aspek fizikal, psikologi, kerohanian dan sosial.
“Luangkan masa dengan aktiviti yang menyihatkan dan sentiasalah meningkatkan pengetahuan semasa. Paling utama fahami pelbagai maklumat berkenaan penyakit yang mudah dijangkiti sebagai asas kepada pencegahan dan kesihatan peribadi,” jelas William.
Terdahulu Ketua Unit Geriatrik HQE Dr. Premala A/P Subramaniam berkata, adalah menjadi tanggungjawab Unit Geriatrik HQE mengambil langkah-langkah awal agar golongan warga emas terus cergas dan sihat serta terus aktif memberi sumbangan.

Sesi Taklimat …Perkhidmatan fisioterapi turut menawarkan khidmat kaunseling berhubung perawatan dan pemulihan akibat kecederaan fizikal sepanjang sambutan berlangsung.
“Sambutan Hari Warga Emas pastinya memberi peringatan kepada kita bersama bahawa peningkatan usia termasuklah penuaan sel otak adalah satu proses yang berlaku dalam setiap individu. Justeru kita perlu mengambil langkah–langkah awal bagi mencapai penuaan yang berjaya.
“Elakkan pandangan negatif berbentuk ‘Ageism’ terhadap warga emas, sebaliknya kita perlu tingkatkan interaksi dan merapatkan hubungan generasi tua dan muda bagi melahirkan masyarakat yang penyayang dan dinamik” , ujarnya.

Selamat Hari Warga Emas…Kakitangan Hospital bersama adik kecil turut sama meraikan sambutan di perkarangan lobi hospital.
Selain terus merancang dan mempergiat pelbagai program kesedaran dan pengetahuan, pihaknya akan terus mengadakan kempen dan promosi kesihatan agar masyarakat maklum bahawa proses penuaan yang sihat penting untuk meningkatkan kualiti kehidupan setiap warga emas.
Katanya, sambutan hari warga emas setiap tahun diharap dapat memberi impak positif dan kesedaran di kalangan masyarakat tentang kepentingan penjagaan warga emas.
Hampir seluruh warga HQE, serta wakli-wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli lembaga pelawat hospital hadir menjayakan sambutan.

Sebahagian daripada kakitangan Unit Geriatrik akan terus mengadakan kempen dan promosi kesihatan berhubung penjagaan kesihatan kepada setiap warga emas.
Sambutan turut diisi sesi ceramah bertajuk ‘let talk about ageing’ oleh Dr. Nareshraja Janardanan dan program pemeriksaan kesihatan percuma, serta aktiviti lawatan dan khidmat penjagaan kesihatan kepada pesakit khususnya di kalangan pesakit warga emas di wad berdekatan.
ER