
Laporan/ foto: Mastura Binti Mohamed Rowther/ Shamsul Bahari Bin Abdul Shukor (Daerah Timur Laut)
GEORGETOWN, 11 Nov (Malaysiaaktif) – Program Sepakat@Komuniti bersama masyarakat india telah dilaksanakan semalam bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan (T), Jalan Sungai, Sungai Pinang. Program Sepakat@Komuniti ini dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Timur Laut.
Program ini dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pinang, Lim Siew Khim. Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang, Sabri Bin Said.
Pelbagai aktiviti telah diadakan sempena program berkenaan. Antaranya ialah penyampaian sumbangan beg sekolah kepada 75 orang pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (T) di sekitar kawasan Daerah Timur Laut dan Barat Daya. Di antara sekolah yang menerima sumbangan adalah Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Jalan Sungai, Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Azad, Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Rajaji, Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Sungai Ara dan 10 orang penerima anak yatim dari Asrama Ramakrishna, Jalan Scotland.
Sumbangan ini bukan hanya bagi membantu murid yang memerlukan dan kurang berkemampuan, namun ianya dapat dijadikan sebagai satu galakan kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh. Dalam pada itu, sumbangan seperti ini diharap dapat membantu meringankan bebanan ibubapa dari kalangan keluarga yang berpendapatan rendah atau golongan B40.
Selain itu, antara pengisian lain dalam program ini adalah taklimat berkenaan Peka B40 dan MySalam yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Cawangan Gerak Saraf dan Pengurusan Isu Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang, Izzuddin Bin Barahim dan taklimat berkenaan I-Suri telah disampaikan oleh Pegawai dari pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Cawangan Negeri Pulau Pinang. Taklimat ini memberi penumpuan khusus menjelaskan kebaikan serta faedah yang telah disediakan pihak kerajaan bagi membantu rakyat serta golongan sasaran yang memerlukan bantuan.
Program seperti ini boleh dijadikan sebagai satu platform menyampaikan maklumat serta dasar-dasar kerajaan kepada semua golongan masyarakat.
Tarian tradisional india juga diselitkan dalam atucara program kerana seni tari juga mampu menyemarakkan semangat muhibah dan mencerminkan kepelbagaian budaya dinegara ini dan masyarakatnya yang berbilang kaum.
-II-