Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Laporan Penuh Tanah Mendap Dibentang 8 Januari – Azmin

By 28 Disember 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

HULU KELANG, 28 Dis (Malaysiaaktif) – Laporan penuh insiden kejadian tanah mendap di Jalan Kelab Ukay 2, Bukit Antarabangsa, di sini akan dibentangkan kepada kerajaan negeri pada 8 Januari nanti.

Insiden yang berlaku sekitar 4 pagi pada 25 Disember lalu, menyebabkan tiga buah rumah retak dan salah satunya mengalami keretakan yang serius.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata agensi teknikal seperti Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sedang menyiapkan laporan tersebut.

“Hasil laporan pada 8 Januari daripada jabatan dan agensi teknikal tersebut, satu keputusan segera bakal diambil berkaitan tindakan selanjutnya dan setakat ini tiada pergerakan (tanah) baharu dilaporkan.

Kesan keretakan rumah terlibat kejadian tanah mendap di Jalan Kelab Ukay 2, Bukit Antarabangsa.

Kesan keretakan rumah terlibat kejadian tanah mendap di Jalan Kelab Ukay 2, Bukit Antarabangsa.

“Kita maklum kawasan (Bukit Antarabangsa) ini merupakan kawasan sensitif sejak beberapa tahun yang lalu dan menjadi tanggungjawab MPAJ memastikan kawasan ini selamat didiami,” katanya semasa sidang media selepas melawat lokasi kejadian, di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Gombak Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim, Yang Di-Pertua MPAJ Datuk Abdul Hamid Hussain dan Penolong Setiausaha Pengurusan Bencana Selangor Ahmad Fairuz Mohd Yusof.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berkata beberapa langkah penting juga telah diambil bagi mengembalikan keyakinan penduduk kawasan tersebut khususnya berkaitan keselamatan dan kesejahteraan penghuni Bukit Antarabangsa.

“Saya telah maklumkan kepada MPAJ dan jabatan terlibat supaya mengambil tindakan segera bukan sahaja kawasan kejadian tanah mendap, malah kawasan berdekatan juga perlu diberi perhatian.

Azmin ketika sidang media selepas melawat lokasi kejadian tanah mendap di Jalan Kelab Ukay 2, Bukit Antarabangsa hari ini.

Azmin ketika sidang media selepas melawat lokasi kejadian tanah mendap di Jalan Kelab Ukay 2, Bukit Antarabangsa hari ini.

“Laporan JMG adalah sangat penting untuk melihat aliran air bawah tanah dan mengenal pasti punca sebenar kejadian ini.

“Sekiranya terdapat keperluan untuk mengurangkan masalah ini, kerajaan negeri bersama MPAJ dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan membincangkan langkah-langkah untuk menyegerakan tindakan,” katanya lagi.

Azmin berkata, keputusan merobohkan rumah masih belum dimuktamadkan kerana siasatan dan laporan terperinci sedang dijalankan jabatan termasuk melantik perunding untuk membantu menyiapkan laporan tersebut.

“Ketika ini pemilik tiga buah rumah diminta mengosongkan kediaman mereka dan tiada keputusan untuk merobohkannya kerana siasatan masih berjalan.

“Saya tidak mahu membuat spekulasi tentang punca kejadian kerana ini memerlukan maklum-balas teknikal daripada pakar-pakar terlibat, kita berikan ruang kepada mereka untuk melakukannya dengan segera,” tambahnya.

– SH

Tinggalkan komen anda