
Laporan/foto: Iswandy Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 28 Dis (Malaysiaaktif) – Pelbagai pihak terus mencurah bakti dan menghulur bantuan kepada mangsa tanah runtuh Rh Agal, Panggil dalam usaha meringankan beban yang ditanggung akibat bencana tanah runtuh yang dikatakan hampir meragut nyawa penghuni 11 pintu rumah tersebut pada 9 Disember lepas.
Antaranya ialah badan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Projek Pensil yang tampil memberikan bantuan berupa keperluan harian dan wang tunai kepada mangsa di Pusat Pemindahan Sementara Dewan SMK Melugu, di sini semalam.
Pengerusinya Norina Utot Umoi, berkata apabila mendengar musibah ini beliau terus mengarahkan sukarelawan Projek Pensil agar segera melawat mangsa serta membantu segala keperluan mangsa.
“Dalam rombongan pasca tanah runtuh ini kami turut membawa hadiah Krismas kepada mangsa kerana memahami perasaan mereka yang tidak dapat meraikan perayaan tersebut bersama sanak saudara dalam suasana ceria,” katanya ketika ditemui ketika lawatan bertemu mangsa tanah runtuh di pusat berkenaan.
Menurut Norina, tiada aduan dikemukakan mangsa di pusat pemindahan tersebut namun berharap agar mangsa dapat bekerjasama sepenuhnya dengan agensi terbabit pengurusan bencana berkenaan status pinjaman perumahan rumah panjang tersebut dengan Suruhanjaya Perumahan Negara Berhad (SPNB).
“Mereka tiada masalah, makanan dan minuman mencukupi, dan saya merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit membantu mangsa di daerah ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Tr Agal yang ditemui memaklumkan bahawa kerajaan telah membantu menyelesaikan usaha menstabilkan cerun yang runtuh di belakang rumah panjangnya namun masih belum dapat mengesahkan samada ianya selamat kerana terdapat rekahan baharu pada pencawang elektrik yang terletak di atas bukit tersebut.
“Kesemua mangsa akan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) lain pada 31hb Disember ini kerana sesi persekolahan di SMK Melugu akan bermula pada 2hb Januari 2019,” ujarnya.
-SH