Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Kerajaan Setuju Tangguh Pemansuhan BPIK

By 28 Disember 2019Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 28 Dis (Malaysiaaktif) – Kerajaan setuju menangguhkan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) dan akan membincangkan perkara tersebut dalam mesyuarat kabinet Januari nanti.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata perkara tersebut dimaklumkan oleh Perdana Menteri ketika menghubunginya semalam.

“Susulan keresahan pegawai perubatan dan jururawat mengenai isu ini, saya telah menghubungi Perdana Menteri yang kini berada di Tokyo.

“Dalam perbincangan tersebut Perdana Menteri setuju menangguhkan pemansuhan BPIK dan ianya akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet Januari ini,” katanya ketika ditemui sempena program ‘Rally for Muslim Ummah’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini semalam.

Syed Saddiq turut berkongsi perkembangan terbaru itu dalam ciapan laman Twitter rasminya.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan pemansuhan sembilan elaun termasuk BIPK untuk lantikan baharu bermula 1 Januari 2020.

Pemansuhan yang bakal menjejaskan 33 skim perkhidmatan melibatkan pegawai lantikan baharu ini telah mendapat perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya dalam kalangan anggota perubatan.

-SH

Tinggalkan komen anda