
Laporan/foto: Syed Hisham Shah/KKM (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 26 Jan ( Malaysiaaktif) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sehingga 12.00 tengah hari tadi, jumlah kumulatif kes Patient-Under Investigation (PUI) jangkitan Novel Coronavirus (2019-nCoV) direkodkan sebanyak 23 kes.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, seramai 14 rakyat tempatan disahkan gejala tersebut manakala lapan warganegara China dan seorang warganegara Jordan turut dijangkiti.
“Daripada jumlah 23 kes PUI ini, terdapat hanya satu kes positif 2019-nCoV iaitu seorang lelaki warganegara China berusia 40 tahun.
“Sementara itu, 18 kes PUI adalah negatif dan telah discaj daripada hospital, manakala empat lagi kes PUI ini yang diletakkan dalam isolasi di beberapa buah hospital, keputusan makmal mereka akan diketahui dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Mengambil kira situasi semasa, KKM terus mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan wabak jangkitan penyakit Novel Coronavirus ini.
“Kes-kes ini dipantau sehingga tamat tempoh inkubasi virus ini iaitu
sekurang-kurang 14 hari dari tarikh pendedahan atau berlepas dari negara China, ia selari dengan Seksyen 14 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Mana-mana orang yang tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh mana-mana pegawai diberi kuasa, sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali bawah Seksyen 24(a) Akta yang sama,” katanya lagi.
KKM turut menyarankan kepada orang ramai yang bercadang mengunjungi negara China agar menangguhkan perjalanan mereka kecuali untuk urusan penting yang tidak boleh dielakkan.
-SH