
Laporan/foto: Tengku Nor Liza Tengku Yahya/Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad semalam mengumumkan penubuhan satu tabung pusingan dana oleh Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bernilai 3.9 juta sebagai usaha Kerajaan membantu Bumiputera membayar deposit pembelian rumah mampu milik.
Menurut Khalid, dana tersebut adalah merupakan hasil kutipan denda yang dikenakan ke atas pemaju-pemaju yang telah menjual unit kuota Bumiputera tanpa kebenaran DBKL dan juga sumbangan 5% daripada harga unit yang diberikan pelepasan untuk dijual kepada bukan Bumiputera.
“Dana ini dijangka dapat dimanfaatkan oleh sekurang-kurangnya 130 orang pembeli Bumiputera yang memerlukan bantuan pinjaman wang pendahuluan berdasarkan harga seunit rumah mampu milik bernilai RM300,000,” kata Khalid pada satu sidang media di Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, hari ini.
Bantuan pinjaman dana ini disediakan khususnya untuk golongan B40 dan M40 yang telah mendapat tawaran untuk membeli rumah mampu milik di Kuala Lumpur dan ianya khususnya untuk pembeli rumah pertama yang bekerja atau menetap di Kuala Lumpur sahaja.
Jelas beliau lagi, pembeli rumah tersebut perlu membayar semula jumlah pinjamannya dalam tempoh masa 10 tahun tanpa dikenakan sebarang faedah.
“Namun, denda lewat boleh dikenakan ke atas peminjam yang gagal menjelaskan bayaran balik dalam tempoh tersebut,” tambah beliau lagi berkenaan pendekatan baru Kerajaan ini dalam membantu meringankan tanggungan Bumiputera kurang berkemampuan dalam menyediakan wang pendahuluan.
“Tiada syarat had umur, yang penting mesti ada surat tawaran dari bank, bukannya terus datang ke kaunter DBKL minta duit deposit,” katanya.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata golongan Bumiputera yang ingin mendapatkan bantuan tabung dana ini boleh mengemukakan permohonan di Jabatan Kewangan atau Jabatan Perumahan DBKL
-AO