Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

578 Kenderaan Diperiksa, 94 Saman Dikeluarkan

By 24 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/AMH (Labuan)

LABUAN, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Sebanyak 578 buah kenderaan diperiksa dan 94 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Labuan, dalam Operasi Tahun Baharu Cina 2020, di sini.

Pengarahnya, Mohammad Afdhal Mohd Ruslan, berkata saman yang dikeluarkan melibatkan tiga kategori kesalahan, antaranya perlesenan kenderaan, lesen memandu dan kesalahan teknikal seperti lampu brek tidak menyala.

“Operasi seperti ini tidak hanya dijalankan pada musim perayaan, malah akan dilakukan sepanjang bulan bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kesalahan berulang.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat, sebelum merancang perjalanan bagi mengelakkan daripada disaman ataupun berlakunya kemalangan.

“Operasi yang bermula 18 Januari lalu sehingga 2 Februari depan turut melibatkan agensi lain seperti, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Imigresen Labuan,” katanya yang ditemui media selepas menjalankan operasi tersebut di Stesen Penguatkuasa Rancha-Rancha, baru-baru ini.

Afdhal (dua dari kanan) menunjukkan foto-foto kategori kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya.

Afdhal (dua dari kanan) menunjukkan foto-foto kategori kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya.

Afdhal turut memaklumkan bahawa JPJ Labuan turut menguatkuasakan larangan pemanduan kenderaan barangan, bermula 21 Januari lalu dan melibatkan tiga fasa.

“Fasa pertama berkuatkuasa sepanjang masa, melibatkan lori pembawa kenderaan, trak tunda yang tidak menunda kenderaan, lori jongket dengan berat muatan 7.5 tan, lori pengangkut rendah, treler tiang dan pelantar, serta lori pengangkut simen, besi keluli, batu, pasir, tanah atau bahan binaan yang lain.

“Manakala fasa kedua berkuatkuasa 12 tengah malam hingga lapan pagi, melibatkan lori kontena yang mengangkut barangan selain lori kontena yang mengangkut barangan dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan industri, serta lori kargo tanpa muatan dan fasa tiga pula berkuatkuasa enam petang hingga enam pagi dalam jarak 25 kilometer dari tapak binaan bagi kren bergerak dan lori pembancuh simen,” katanya lagi.

Kenderaan yang didapati melanggar peraturan akan ditahan untuk tempoh 48 jam jika larangan tersebut tidak dipatuhi selain dikenakan notis JPJ P(22), dibawah Kaedah 2(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan).

-SH

Tinggalkan komen anda