PUTRAJAYA, 13 Jan (Malaysiaaktif) – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis menggagalkan cubaan menyeludup keluar 154 ekor ular tedung senduk atau dikenali sebagai ‘naja kaouthia’ ke negara jiran petang semalam.
Komander Aksem Perlis, DSP Rodzi Abu Hassan berkata sepasukan anggota risik Aksem Padang Besar menemukan kesemua ular itu di kawasan semak di Kampung Kolam, Padang Besar dekat sini kira-kira 100 meter dari pagar sempadan Malaysia-Thailand.
“Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, berdasarkan maklumat awam, pihaknya menemukan 154 ekor ular yang diletakkan di dalam guni berwarna biru dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Rodzi berkata pihaknya percaya sindiket itu didalangi warga tempatan dan menunggu masa untuk membawa masuk ke sana (sempadan).
“Mereka akan menunggu masa yang sesuai. Kami jumpa di kawasan pagar sempadan dan kami percaya mereka akan lambung (baling) melalui pagar sempadan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Kesemua ular tersebut yang dianggarkan bernilai RM30,800 itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perlis untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 60, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 716 (2010) kerana memiliki hidupan liar tanpa permit atau lesen, katanya lagi.
— BERNAMA