Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kenanga Unjur TIV Meningkat kepada 612,000 Tahun Ini

By 3 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Kenanga

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Malaysiaaktif)  – Kenanga Investment Bank (Kenanga) mengunjurkan jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) bagi sektor automotif meningkat kepada 612,000 tahun ini daripada unjuran 600,000 tahun lepas.

Unjuran itu disokong oleh pelancaran baharu yang menarik terutamanya daripada pengeluar bukan nasional dan program insentif yang lebih baik di bawah Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020), yang dijangka diumumkan pada suku pertama tahun ini.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memutuskan untuk meningkatkan kekerapan mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Perniagaan Automotif bulanan daripada sekali kepada dua kali sebulan untuk mempercepatkan proses kelulusan harga kenderaan,” kata bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

MITI juga menubuhkan Majlis Penasihat Perdagangan dan Industri untuk membincangkan pelbagai isu daripada pelaburan langsung asing dan domestik hinggalah kepada NAP 2020.

Sementara itu, Kenanga berkata kenderaan utiliti sukan (SUV) dijangka terus menjadi tumpuan utama dalam industri pada tahun ini.

Bahagian pasaran segmen pacuan empat roda (4WD)/SUV meningkat kepada 20 peratus dalam tempoh 11 bulan pertama 2019 berbanding 13 peratus bagi keseluruhan 2018 berikutan peningkatan populariti kenderaan ini.

“Segmen SUV terus meraih populariti, diterajui pelancaran Proton SUV X70 pada 12 Dis, 2018, Perodua Aruz (15 Jan, 2019), Mazda CX-8 varian unit terurai untuk dipasang (CKD) pada 13 Nov, 2019) dan Mazda CX-5 berwajah baharu (22 Okt, 2019),” kata bank pelaburan itu.

Pelancaran utama SUV pada suku pertama tahun ini termasuklah Proton X70 CKD yang berwajah baharu, Toyota C-HR, Toyota Rush, Mazda CX-30 varian unit siap dipasang sepenuhnya (CBU) dan Mazda CX-3 yang diperbaharui.

Proton X50 dan Perodua 55L/Raize CKD juga dijangka dilancarkan lewat tahun ini.

Sementara itu, Kenanga berkata jenama kereta nasional terus mengatasi jenama kereta bukan nasional dari segi bahagian pasaran dari Januari hingga November 2019, berikutan jualan memberangsangkan daripada Perodua terutamanya selepas pengenalan model Perodua Myvi serta Perodua Aruz serba baharu.

Bagi tempoh Januari-November 2019, jenama nasional menguasai 57 peratus bahagian pasaran berbanding 43 peratus jenama bukan nasional.

“Ia juga mendapat rangsangan daripada pertumbuhan jualan Proton yang sangat menggalakkan (meningkat 51 peratus tahun ke tahun) selepas pengenalan model Proton X70 serba baharu serta disokong oleh varian model sedia ada berwajah baharu yang dilengkapi dengan teknologi terkini (Saga, Iriz, Persona dan Exora),” kata bank pelaburan itu.

Kenangan mengekalkan penilaian “neutral” ke atas sektor automotif.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda