
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan bersama untuk memastikan bekalan barangan adalah mencukupi dan memastikan harga dipasaran adalah berpatutan menjelang Sambutan Tahun Baharu Cina.
Menurut satu kenyataan daripada KPDNHEP Labuan semalam, Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP turut berada di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.
“Langkah-langkah ini mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan.
“Pihak KPDNHEP juga memperkukuhkan pemantuan harga dengan mengadakan kerjasama bersama pelbagai pihak antaranya menerusi Pegawai Pemantau Harga yang menjalankan pemantauan harga barangan keperluan asas di seluruh negara di bawah kementerian,” menurut kenyataan tersebut.
Kenyataan tersebut turut menegaskan pengguna yang menjadi Rakan KPDNHEP merupakan mata dan telinga kementerian bagi menyebarkan maklumat berhubung kepenggunaan terutama mengenai isu harga barang di samping agensi kerajaan serta pemimpin tempatan yang membantu menyalurkan maklumat mengenai kenaikan harga barangan.
“KPDNHEP akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2020 berkuatkuasa dari 20 Januari hingga 2 Februari 2020 sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang musim perayaan.
“Sebanyak 16 jenis barangan dikenal pasti bagi pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2020 berbanding 13 jenis barangan sebelum ini iaitu pertambahan barangan melibatkan cili merah,tomato dan dan ubi kentang import (China),” katanya lagi.
Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini dan mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
-SH