
Laporan/ foto: Muhammad Hafiz/ Mohd Aiman Zuhairi/ Umardani (Kuantan)
KUANTAN, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Saling memahami kepelbagaian budaya antara kaum dan memupuk perpaduan serta keharmonian masyarakat merupakan objektif utama penganjuran Pesta Ponggal oleh Komuniti Rukun Tertangga (KRT) Taman Bayroute Permai, Kuantan.
Walaupun cuaca hujan, ia tidak memudarkan semangat perpaduan dan kekitaan dalam menjayakan program tersebut. Program dimulakan dengan acara memasak nasi susu yang telah disediakan di 20 buah dapur dan juga pertandingan membuat Kolam. Program ini dimeriahkan lagi dengan penyertaan daripada pelbagai kaum termasuk Melayu dan Cina.
Hadir bersama wakil rasmi Ahli Parlimen Indera Mahkota, Husainuddin Bin Yaacob telah memeriahkan lagi acara apabila beliau bersama-sama peserta memasak nasi susu. Di samping itu, program ini turut melibatkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan seperti Kuantan India Association (KIA) , Persatuan Ibu-Ibu Tunggal Kuantan dan ramai lagi.
“Pesta Ponggal bagi kaum Hindu merupakan acara kesyukuran kepada dewa Matahari kerana telah melimpahi hasil tanaman yang telah membuahkan hasil kepada para petani suatu masa dulu,” kata pensyarah di Kolej Universiti Widad, Annati
“Program ini menjadi permulaan yang baik untuk perpaduan dan menyatukan penduduk setempat yang berbilang kaum dalam mengenali lebih dekat dengan kebudayaan kaum India,” katanya lagi.
Menurut Pengerusi KRT Taman Bukit Bayroute Permai merangkap Pengerusi program ini, Arumugam, penganjuran Pesta Ponggal di kejiranan beliau adalah tidak lain dan tidak bukan bagi memupuk semangat rukun tetangga dan keharmonian masyarakat dalam mengenal Ponggal yang diamalkan oleh masyrakat kaum India di Malaysia.
“Walaupun program ini nampak macam sederhana sahaja, namun kemeriahan amat dirasai oleh penduduk setempat apabila dapat merasai pengalaman memasak nasi susu serta berpeluang memenangi pertandingan menghias Kolam,” ujarnya.
-KN