Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Pasukan Maritim Malaysia-Jepun Memperkasakan Aspek Kebersihan Perairan Negara

By 24 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Marina Hila binti Idris (Daerah Klang)

PELABUHAN KLANG, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Kunjungan kapal maritim Japan Coast Guard (JCG) “Echigo PLH 08” ke Malaysia disambut dengan penuh tradisi oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sini. Ketibaan kapal tersebut disambut dengan mainan lagu “Inilah Barisan Kita” oleh pancaragam Maritim Malaysia.

Seterusnya upacara pertemuan antara Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam bin Zakaria, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Keselamatan dan Carilamat JCG, Laksamana Madya Suzuki Shiro dan kru kapal berlangsung.

Kapal tersebut dengan kekuatan 60 orang ahli tiba dari Pelabuhan Chennai selesai menjalani latihan bersama India Coast Guard. Kunjungan kali ini menyaksikan buat julung kalinya Maritim Malaysia dan JCG akan berkongsi kepakaran cara menangani insiden tumpahan minyak di laut melalui “Oilspill Workshop” yang berlangsung dari 21 Januari hingga 25 Januari 2020 di Pusat Hidrografi Nasional, Pelabuhan Klang.

LPM Nurul Hizam bin Zakaria (dua dari kiri). LM Suzuki Shiro (dua dari kanan)

LPM Nurul Hizam bin Zakaria (dua dari kiri). LM Suzuki Shiro (dua dari kanan)

Bengkel komprehensif yang melibatkan latihan bersama secara praktikal dan teori ini melibatkan 100 orang pegawai daripada pelbagai jabatan antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Tentera Udara Diraja Malaysia dan juga PETRONAS.

Menurut Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam bin Zakaria, bengkel ini dijalankan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan Maritim Malaysia sentiasa berada pada tahap terbaik dalam menangani insiden tumpahan minyak.

Lagu Inilah Barisan Kita dimainkan oleh pancaragam Maritim Malaysia

Lagu Inilah Barisan Kita dimainkan oleh pancaragam Maritim Malaysia

“Program bersama JCG ini dilihat dapat meningkatkan keupayaan anggota serta mengoptimumkan penggunaan peralatan dalam mengendalikan insiden tumpahan minyak di Malaysia. Latihan seperti ini dapat menguji kemampuan sebenar Agensi ini dalam memberi bantuan awal ketika berlakunya insiden tumpahan minyak“ jelas beliau.

Menurut beliau lagi, selain menjadi isu nasional, subjek tumpahan minyak diberi penekanan untuk kali ini berikutan kualiti air di perairan khususnya Semenanjung Malaysia dan kebersihan pantai yang merunsingkan berbanding di perairan Sabah dan Sarawak.

Menurut rekod, kes tumpahan minyak yang direkodkan oleh Jabatan Alam Sekitar pada 2019 iaitu 36 kes aduan mengalami penurunan 20 peratus berbanding tahun 2018 iaitu 45 kes aduan, yang menunjukkan Maritim Malaysia ingin terus komited membangunkan pelan jangka masa panjang bagi memastikan keselamatan dan kebersihan perairan Malaysia terus terperlihara.

-NAZ

 

Tinggalkan komen anda