
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mahu kemudahan di bangunan Pasar Pagi Selayang Baharu dipertingkatkan untuk menjamin keselesaan peniaga dan pengunjung.
Beliau berkata dalam tempoh tiga bulan sejak ianya dibuka Oktober tahun lalu, jumlah pengunjung ke pasar baharu itu menunjukkan peningkatan.
“Namun beberapa kemudahan dan naik taraf perlu diperbaiki termasuk kemudahan lif, tangga, sistem saliran dan lain-lain.
“Masalah lif dijangka akan diselesaikan hujung bulan ini apabila berlaku sedikit kelewatan daripada jadualnya disebabkan perlu mendapatkan alat ganti lif tersebut.
“Saya juga mahu sistem pengudaraan diperbaiki untuk elak kawasan menjadi panas selain masalah isu takungan di tingkat bawah yang perlu diselesaikan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Serahan Limau Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Pasar Pagi Selayang Baharu, di sini hari ini.
Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, berkata beliau berpuas hati komitmen yang diberikan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan pemaju dalam menyelesaikan masalah yang dibangkit oleh peniaga.
“Walaupun isu pemindahan penjaja ini tertangguh lebih 11 tahun namun sikap pemaju yang masih ingin bertanggungjawab amat dihargai, cuma saya minta pembaikan itu dilaksanakan segera.
“Saya juga sedang berusaha menyelesaikan isu tapak baharu bagi peniaga yang belum mendapat tempat dan isu caj bayaran parkir yang dikenakan ke atas pengunjung” katanya.
-NAZ