Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Perpaduan Lengkapi Kehebatan Malaysia

By 25 Januari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 25 Jan (Malaysiaaktif) – Perpaduan yang kukuh dalam kalangan warga Labuan melengkapi kehebatan negara Malaysia.

Menurut Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, sambutan Tahun Baharu Cina yang disertai masyarakat pelbagai kaum dan agama membuktikan Labuan menyerlahkan lagi keunikan yang ada di negara ini.

“Tradisi rumah terbuka dan saling kunjung-mengunjung oleh rakyat pelbagai lapisan dalam meraikan perayaan pada hari ini perlu kita pertahan dan teruskan.

“Sambutan di Labuan tidak kurang hebat dan sangat meriah dengan hidangan juadah yang pelbagai tambahan pula kebanyakan majlis rumah terbuka menghidangkan makanan halal untuk rakan-rakan daripada pelbagai bangsa dan kepercayaan,” katanya yang ditemui semasa berkunjung ke sebuah majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina, di sini hari ini.

Pengerusi Dewan Perniagaan Tiong Hua Labuan, Datuk Wong Kii Yii, berharap tahun tikus ini membawa kemakmuran berterusan kepada Malaysia khususnya Labuan.

Kemeriahan Sambutan Tahun Baharu Cina dengan kehadiran rakyat berbilang kaum.

Kemeriahan Sambutan Tahun Baharu Cina dengan kehadiran rakyat berbilang kaum.

“Diharap tahun ini ekonomi negara akan bertambah kukuh dan disokong dengan rakyat yang bersatu hati seperti sebuah keluarga besar,” katanya.

Beliau turut menyeru agar semua perayaan di negara ini perlu dirai bersama oleh semua rakyat pelbagai kaum.

“Saya sendiri mengadakan rumah terbuka setiap tahun supaya semua rakan-rakan daripada kaum lain turut merasa kemeriahan Tahun Baharu Cina dengan semangat yang harmoni,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Komuniti Harapan Malaysia (KHM) Labuan, Simsudin Sidek pula melahirkan kesyukuran dengan keharmonian yang ditunjukkan oleh warga Labuan.

“Saya merasa sangat bersyukur kerana kita dapat hidup selesa dan harmoni di Labuan hasil dari persefahaman rakyat majmuk selama ini.

“Budaya hormat-menghormati dan meraikan perbezaan ini wajib kita pertahankan sampai-sampai bila bagi menjamin kesejahteraan negara ini yang bakal kita wariskan generasi di masa hadapan,” kongsinya.

-SH

Tinggalkan komen anda