
Laporan/foto: Judy Henry/Jaed Tepus (Sarawak)
KUCHING, 25 Jan (Malaysiaaktif) – Lebih 5000 tetamu hadir memeriahkan majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Dewan Eucharistica, di sini hari ini.
Timbalan Menteri KPDNHEP, Chong Chieng Jen merangkap Ahli Parlimen Stampi menyifatkan kepelbagaian kaum dan agama yang diamalkan di negara ini cukup unik.
“Inilah keistimewaan di Malaysia, amnya Sarawak, yang mana masyarakat pelbagai kaum dan agama sudi mengunjungi rakan dan saudara yang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina ini,” katanya ketika mengadakan majlis rumah terbuka, di sini hari ini.
“Saya berharap tahun ini, hubungan semua bangsa dan agama di Malaysia akan menjadi lebih mesra dan erat demi mengukuhkan perpaduan dan semoga tahun baharu ini merupakan titik permulaan yang baik untuk perlaksanaan semua program yang telah dirancang oleh kerajaan.
“Justeru, perpaduan kaum adalah keutamaan kepimpinan kerajaan Malaysia Baharu untuk meningkatkan ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya lagi.
Majlis turut dihadiri Pengarah KPDNHEP Sarawak Datuk Stanley serta beberapa tetamu kenamaan yang mengiringi Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
-SH