
Laporan/foto: Ros Naini Arshad/ Zamri Abd Razak (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 24 Feb (Malaysiaaktif) – Kemajuan teknologi hari ini menjadikan kita lebih lama memegang telefon pintar berbanding buku.
Namun begitu, buku yang digambarkan sebagai makhluk bernyawa ini mampu memberi pelbagai reaksi yang membuat kita ketawa, marah, sedih, terharu, bersemangat dan sebagainya mengikut perasaan pembacanya.
Lantaran itulah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) mengambil inisiatif untuk mengembalikan kecemerlangan peranan buku pada Pesta Buku@PPAT yang diadakan saban tahun.
Pesta ini bermula pada 22 Februari hingga 29 Februari 2020 bertempat di Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Kuala Terengganu.
“Tiada gajet yang dapat mengambil alih keseronokan yang diperolehi melalui pembacaan buku, ia datang bersama emosi yang tidak dapat dirasai melalui medium lain”, ujar Mohamad Hamdan Maliki, 63, salah seorang pengunjung tetap Pesta Buku@PPAT setiap tahun.
Walaupun telah bersara, beliau masih meneruskan minat membaca yang diterap dari zaman kanak-kanak lagi. Beliau sekeluarga bersama-sama berkongsi minat membaca dan mempunyai perpustakaan mini di rumah.
“Lebih ramai penerbit yang mengambil bahagian pada pesta buku pada kali ini, sekaligus membawa pelbagai genre pilihan yang mencakupi segenap lapisan pembaca.”
“Potongan harga yang istimewa bagi buku-buku terpilih juga merupakan salah satu daya penarik pada pesta buku kali ini”. Ahmad Fadlan Hadi Mohd Adnan, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Landas, Hulu Terengganu.

Fadlan Hadi Mohd Adnan, 17, dari SMK Landas, Hulu Terengganu teruja terpilih untuk menghadiri Pesta Buku@PPAT.
Ahmad Fadhlan juga menyatakan rasa teruja kerana dipilih untuk menghadiri Pesta Buku@PPAT pada kali ini.
“Saya terharu dengan sambutan hangat para pengunjung Pesta@PPAT pada kali ini”, menurut Fatin Mokhtar, 24.

Fatin Mokhtar, 24, kakitangan Kedai Buku Banggol Kota Bahru gembira dengan sambutan yang diberikan pada Pesta Buku@PPAT pada kali ini.
Beliau yang datang dari Kedai Buku Banggol, Kota Bharu tidak menang tangan melayani para pengunjung ke gerai yang disediakan oleh majikannya dan berharap pesta buku ini dapat diteruskan bagi kebaikan bersama.
Perasmian Pesta Buku@PPAT ini telah disempurnakan oleh Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah.
-ii-