
Laporan/foto: Rosli Husain (Melaka)
DURIAN TUNGGAL, 25 Feb (Malaysiaaktif) – Program Bazar Peduli Rakyat (BPR) bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat setempat telah berlangsung di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Durian Tunggal baru-baru ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan apabila lebih 300 orang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat datang untuk membeli pelbagai barangan keperluan harian seperti barangan runcit, sayur, buah, ikan, ayam, telur, daging dan pelbagai produk industri asas tani dengan penawaran penjimatan 5 hingga 30 peratus daripada harga pasaran semasa.
Program Bazar Peduli Rakyat di bawah kolaborasi FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Ikan turut di hadiri EXCO Kerja Raya , Pengangkutan dan Kemudahan Awam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada penganjur yang memilih tempat ini untuk program ini dan berharap masyarakat setempat mengambil peluang untuk membeli barangan yang ditawarkan dengan harga yang lebih murah dari pasaran tempatan di samping mendapat barangan segar terus dari pihak pengeluar,” ujar Mohd Sofi.
Suri rumah, Sariam Osman, 58 berkata memang berbaloi berbelanja di sini kerana harga ayam dan sayur lebih murah dan segar dari dibeli pasar.
“Saya berharap agar program seperti ini dapat diteruskan setiap bulan bagi memberi peluang kepada orang ramai terus menikmati keistimewaan yang ditawarkan,” ujarnya.
-KN