Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Koronavirus (COVID-19) : Aktiviti Riadah Tidak Tergugat

By 12 Februari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Robani Nabi Ahmad/Normah Sapa’in (Kelantan)

KOTA BHARU, 12 Feb (Malaysiaaktif)– Program Info on Wheel (IoW), Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Kelantan bertindak turun padang memberi kesedaran tentang Koronavirus (COVID-19) kepada orang ramai dengan mengedarkan risalah dan pamplet berkaitan pencegahan dan langkah awal menghadapi virus ini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Menurut Ketua Konvoi Persatuan Permotoran Negeri Johor, Rahim Wahab, 39, masyarakat perlu mengambil pendekatan yang matang dengan bersikap terbuka dalam menangani isu COVID-19 dan jangan terlalu panik kerana keadaan ini masih terkawal.

“Kaedah penting menghadapi isu ini dengan menggunakan pendekatan saintifik, mendengar nasihat-nasihat daripada badan yang berautoriti ketika berhadapan dengan masalah ini.

“Masyarakat juga perlu tenang dan bertindak bijak bukannya bersifat perkauman, isu ini tidak menjadi halangan untuk kita mengadakan aktiviti riadah termasuk berkonvoi beramai-ramai seperti hari ini ke negeri Kelantan, ”kata Rahim yang mengikuti konvoi bermotor bagi membantu menyebarkan maklumat di negeri ini, di sini baru-baru ini.

Azmee Mohamed Noor, Pegawai Penerangan Daerah sedang mengedarkan bahan penerbitan

Azmee Mohamed Noor, Pegawai Penerangan Daerah sedang mengedarkan bahan penerbitan.

Bagi peniaga Gerai Makan, Rusli Muhamad, 40, pula berkata tindakan JaPen melaksanakan hebahan bergerak ini adalah satu langkah terbaik bagi menerangkan berkaitan gejala wabak ini dan langkah-langkah untuk menjaga kesihatan.

“Saya yakin dan percaya, hebahan seperti ini lebih khusus dan bersasar untuk memberi maklumat tepat sampai ke telinga masyarakat berbanding dengan media sosial yang mempunyai lambakan maklumat dan sukar menentukan yang mana sahih atau palsu.

“Kakitangan Jabatan Penerangan berperanan memberi maklumat melalui kaedah komunikasi bersemuka dengan orang awam di tempat tumpuan ramai seperti pasar sehari, pasaraya , pasar petang dan beberapa tempat tumpuan orang ramai,” katanya ketika ditemu bual di Pasar Siti Khadijah, di sini.

Setakat ini belum ada rekod penularan wabak ini di negeri ini namun orang ramai sentiasa diminta untuk bertenang kerana pihak kerajaan sentiasa membuat pemantauan agar wabak tersebut tidak merebak dan masyarakat setempat diberi peringatan agar sentiasa mengambil langkah berwaspada dengan memastikan kebersihan dan kesihatan dijaga sebaik mungkin.

-NAZ

Tinggalkan komen anda