
Laporan/ foto: Zulkifli Othman/ Mahadi Mustafa (Dungun)
DUNGUN, 24 Feb (Malaysiaaktif) – Penularan wabak coronavirus sememangnya mencetuskan kebimbangan kepada dunia hari ini. Usaha mengekang penularan wabak ini seharusnya dipikul secara bersama kerana pencegahan dan pengawalan yang berkesan mampu mengurangkan penularan wabak tersebut.
Atas kesedaran tersebut, Komuniti Harapan Malaysia (KHM) serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Batu 5, Dungun telah turun padang menyertai program Info On Wheels (IOW) anjuran Pejabat Penerangan Daerah Dungun di sekitar Paka, baru-baru ini.
Setiausaha Komuniti Harapan Malaysia Batu 5, Tee Keh Yong menyatakan bahawa masyarakat perlu ada kesedaran bersama dalam menangani wabak yang melanda dunia ketika ini.
“Masyarakat kita seringkali tidak mengambil peduli terhadap sesuatu wabak selagi mana ahli keluarga mereka tidak dijangkiti penyakit tersebut dan merasakan ia bukanlah tanggungjawab mereka untuk mengambil langkah pengawalan dan pencegahan. Sikap sedemikian haruslah dibuang dan masyarakat wajar membina kerjasama bersama komuniti dalam usaha membendungnya,” ujar Tee Keh Yong.

Tee Keh Yong, Setiausaha Komuniti Harapan Malaysia (KHM) Batu 5, Dungun, turut menyampaikan risalah COVID 19.
Menurut Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Batu 5, Lee Fern, beliau yakin pihak kerajaan telah melakukan langkah yang terbaik dalam mencegah wabak ini daripada terus menular.
“Kaedah IOW yang dilaksanakan oleh Pejabat Penerangan Daerah Dungun hingga ke pelusuk kampung adalah contoh yang diambil oleh kerajaan untuk mendidik masyarakat. Saya merasa teruja apabila dapat bekerjasama dengan Pejabat Penerangan Daerah Dungun dalam memberi maklumat serta mengedarkan risalah pencegahan koronavirus kepada komuniti setempat khususnya masyarakat cina di daerah ini,” katanya.

Pegawai Penerangan Daerah Dungun, Rusmiza Anuar menampal risalah pencegahan koronavirus di restoran Batu 5, Dungun.
Pegawai Penerangan Daerah Dungun, Rusmiza Anuar merasa sangat terharu dengan penglibatan komuniti yang turut membantu menyebar luas maklumat berkaitan dengan penularan wabak koronavirus.
“Tinjauan yang dilakukan menunjukkan rata-rata masyarakat di daerah ini maklum mengenai perkembangan wabak ini. Ada juga antara mereka yang menerjah unit bergerak bagi mendapatkan risalah pencegahan koronavirus dan dasar-dasar kerajaan bagi edaran masyarakat setempat.
-ii-