
Laporan/foto: Rahimah Rafiai/Sapawi Osman (Batu)
KUALA LUMPUR, 17 Feb (Malaysiaaktif) – Kempen ‘Komuniti Ini Tanggungjawab Anda (KITA)’ di Perumahan Awam (PA) Seri Perak membuktikan komitmen Kementerian Wilayah Persekutuan dalam membela nasib warga Wilayah, khususnya golongan B40 selaras dengan inisiatif Wilayah Peduli.
Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini merupakan hasil kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemaju, Yeoh Tiong Lay (YTL) Foundation yang dilaksanakan menerusi kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan pengindahan, kemudahan sedia dinaik taraf dalam usaha meningkatkan mutu kehidupan dan kesejahteraan penghuni PA Seri Perak, di sini.
“Ini merupakan sebuah kolaborasi antara sektor awam dan swasta dalam menaik taraf fasiliti sedia ada bagi menjamin kehidupan yang lebih selesa dan sejahtera dalam komuniti, di mana YTL telah memperuntukan RM800 ribu bagi menjayakan projek bersama masyarakat ini.
“Dewan ruang KITA yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk perabot moden dan menarik serta kepelbagaian permainan intelektual khas untuk kanak- kanak di ‘Toys Library’ merupakan komponen utama kempen ini di PA Seri Perak,” katanya sempena lawatan kerjanya, di sini kelmarin.
Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran turut mengutarakan hasrat beliau dalam menyelesaikan masalah kesesakan tempat letak kereta di sini.
“Saya telah mengemukakan cadangan untuk membina kawasan parkir bertingkat bagi mengatasi masalah kesesakan tempat letak kereta penduduk di sini, dan diharap pihak Menteri Wilayah dan DBKL dapat meluluskan projek ini secepat mungkin,” jelas beliau yang juga anggota Majlis Menteri.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A Dahlan dan Pengarah Urusan YTL Cement, Datuk Seri Michael Yeoh Sock Siong.
-AO