
Laporan/foto: Mohd Hanif Ahmad/Mohd Zahairi Zabidi (Mersing)
MERSING, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Program pembangunan modal insan yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (East Coast Economic Region Development Council – ECERDC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor telah memperkasakan rakyat di wilayah Pantai Timur dengan pelbagai manfaat dan ia juga turut menyumbang ke arah transformasi ekonomi secara berterusan.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Baidzawi Che, berkata program ini yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan-rakan strategik ECERDC seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Pertubuhan Kemajuan Sosial Malaysia (PKSM) memberi fokus kepada pembangunan modal insan melalui latihan akademik yang mensasarkan para pelajar berprestasi rendah dari keluarga miskin, manakala latihan kemahiran dan keusahawanan pula untuk para peserta dewasa daripada golongan B40.
“Kami sentiasa komited dalam meningkatkan kesejahteraan peserta program Pembangunan Modal Insan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menerusi projek dan program ECERDC dan akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi-agensi yang berkaitan untuk melaksanakannya bagi memperkasakan rakyat demi memastikan pertumbuhan yang mampan dan saksama khususnya di daerah Mersing.
“Sejak program empower ECER dilancarkan di Mersing pada 2013, seramai 3100 orang peserta yang terdiri daripada golongan B40 telah menyertainya dan menerima manfaat daripadanya,” katanya.
Baidzawi turut memaklumkan, pada tahun 2019 seramai 177 peserta Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER telah berjaya menjadi usahawan di mana majoriti daripada mereka memperoleh pendapatan bulanan antara RM1,000 ke RM5,000 malah mereka turut mewujudkan lebih 160 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Menurut Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal, kejayaan para peserta yang kita dapat saksikan pada hari ini merupakan pencapaian yang amat membanggakan dan perlu dijadikan contoh.
“Pencapaian ini adalah amat signifikan, oleh itu saya berharap program ini akan diteruskan untuk manfaat warga ECER terutamanya di daerah ini.
“Sekalung tahniah juga diucapkan kepada para peserta yang telah berjaya menamatkan kursus dan juga pada penerima Anugerah Usahawan Empower ECER, semoga anda semua kekalkan usaha dan melakar kejayaan yang lebih besar,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah Usahawan Empower ECER Mersing 2019, di sini, semalam.
Salah seorang peserta program dan penerima Anugerah Usahawan Gemilang, Mursina Zainuddin, 34, berkata beliau telah berjaya meningkatkan taraf hidup keluarganya dengan menjalankan perniagaan sate sejuk beku dan perkhidmatan katering dan sentiasa optimis dalam mempelajari kemahiran keusahawanan dan memulakan perniagaan berbekalkan resepi keluarga.
“Hasilnya, saya meraih pendapatan mencecah RM12,000 sebulan yang bukan sahaja telah mengubah nasib keluarga malah secara tidak langsung memberikan kesan limpahan kepada komuniti setempat.
“Saya amat bersyukur dengan adanya program empower ECER yang secara tidak langsung bukan sahaja mampu meningkatkan taraf hidup keluarga tetapi dapat juga membantu para penduduk dalam komuniti ini dengan menyediakan peluang pekerjaan,” tambahnya.
Seorang lagi penerima anugerah, Muhammad Farid Izzudin Malikhazulkifli, 26, kini menguruskan kantin di Politeknik Mersing Johor dengan bantuan lapan orang pekerjanya yang mana beliau sebelum ini merupakan seorang peniaga makanan di pasar malam.
“Saya berasa amat gembira kerana menerima anugerah ini di mana sejak dahulu lagi, saya mengimpikan untuk menceburi bidang perniagaan dan kursus ini telah banyak mengajar saya mengenai cara-cara untuk menjalankan sebuah perniagaan yang berjaya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ECERDC di atas bantuan dan bimbingan yang telah diberikan kepada saya,” ujarnya.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani.
-NI-