
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Najib Mohaini (Johor Bahru)
ISKANDAR PUTERI, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Sehingga kini terdapat lapan kes tangkapan penyebaran berita palsu berkaitan wabak koronavirus di mana satu kes telah dibuat pendakwaan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri Dzulkefly Ahmad merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, berkata bukan sekadar individu yang memulakan penulisan berita palsu boleh diambil tindakan tetapi mereka yang turut memanjangkan berita palsu ini juga boleh dikenakan tindakan sama.
“Jika mempunyai bukti yang kukuh, mereka yang menulis dan yang menyebarluaskan berita palsu boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedu-duanya.

Lebih 200 helai risalah berkaitan wabak koronavirus dan inisiatif-inisiatif kerajaan yang lain telah diedarkan kepada orang ramai sempena program Info On Wheels (IOW), semalam.
“Ini merupakan satu peringatan kepada rakyat agar jangan menyebarluas sebarang berita yang tidak pasti kesahihannya dan sentiasa perlu memastikan kesahihan sumber maklumat tersebut sebelum dikongsi kepada khalayak ramai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Info On Wheels (IOW) anjuran Pejabat Penerangan Daerah Johor Bahru di Pasar Tani Taman Nusantara, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Penerangan Negeri Johor Sabarudin Yeop Hamzah dan Pegawai Penerangan Daerah Johor Bahru Norhasiswana Rasion.
Dzulkefly turut menasihatkan orang ramai agar mendapatkan maklumat yang sahih mengenai wabak koronavirus ini menerusi laman rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia atau Jabatan Penerangan khususnya di laman media sosial.

Pegawai Penerangan Daerah Johor Bahru, Norhasiswana Rasion bersama sukarelawan dari Komuniti Harapan Malaysia (KHM) DUN Kota Iskandar Zon 2 yang turut membantu pelaksanaan program IOW.
“ Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang telah diadakan pada Rabu lepas juga telah mengambil tindakan yang tegas dengan membatalkan semua program kerajaan negeri berskala besar seperti Festival Layang-Layang Sedunia di Pasir Gudang yang dijadualkan berlangsung pada 26 Februari hingga 1 Mac ini.
“Bagi program kerajaan negeri yang akan diadakan pada bulan Mac dan April ini pula akan diputuskan berdasarkan penilaian dari semasa ke semasa memandangkan peningkatan kes positif jangkitan wabak Novel Koronavirus di negara ini,” katanya lagi.
Sempena program IOW ini, Dzulkefly turut bersama-sama turun padang untuk memberi penerangan dan kesedaran kepada orang ramai mengenai langkah-langkah pencegahan wabak Novel Koronavirus seperti penggunaan topeng muka, kerap mencuci tangan dengan sabun atau pembersih tangan (hand sanitizier) dan mengurangkan aktiviti pertemuan berskala besar di kawasan terbuka khususnya melibatkan warga asing.
Dzulkefly berkata program IOW Jabatan Penerangan merupakan sebuah program yang sangat baik dan sehingga kini Jabatan Penerangan Negeri Johor telah berjaya melaksanakan sebanyak 54 buah program seumpamanya di seluruh daerah dalam negeri ini.
“Saya juga berharap agar Komuniti Harapan Malaysia (KHM) yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) seliaan Jabatan Penerangan dapat memainkan peranan penting memperluaskan pelaksanaan program IOW agar lebih ramai rakyat di dalam dan luar bandar mendapat maklumat tepat berkaitan wabak koronavirus ini,” jelasnya.
-NI-