Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

IOW Sebar Informasi Berguna Buat Masyarakat

By 21 Februari 2020Oktober 5th, 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Daniel Jong (Negeri Sembilan)/Mohd Khairulnizam Mohd Yunus (Negeri Sembilan)

JEMPOL, 21 Feb (Malaysiaaktif) – Perlaksanaan program Info On Wheels (IOW) oleh Jabatan Penerangan (JAPEN) Malaysia merupakan langkah efektif yang membantu dalam penyampaian dasar kerajaan secara lebih jelas kepada orang ramai khususnya penduduk di kawasan luar bandar dan ianya diadakan dua kali seminggu dengan sasaran di tempat-tempat tumpuan orang ramai.

Pengarah JAPEN Negeri Sembilan, Shahnon Mohamad, berkata program IOW yang dilaksanakan oleh JAPEN di semua negeri bukan sahaja memfokuskan penyampaian inisiatif yang diilhamkan oleh kerajaan, malah turut bekerjasama dengan jabatan lain seperti Jabatan Kesihatan Malaysia untuk menerangkan tentang isu semasa seperti wabak Novel Coronavirus (COVID-19).

“Lambakan maklumat telah menyebabkan kekeliruan umum misalnya wabak Covid-19 telah menyebabkan orang ramai terpedaya dengan perkongsian viral di platform Whatsapp.

“Jadi hari ini, JAPEN turun padang untuk memberikan penjelasan tentang isu tersebut agar ia dapat membendung penularan berita palsu khususnya di alam maya,” katanya ketika ditemui sempena Program IOW di Kampung Lonek, Jempol pagi semalam.

WhatsApp Image 2020-02-21 at 12.33.57

Shahnon Mohamad (dua dari kanan) dan Dr Ariza (kanan sekali) menyampaikan risalah kepada penduduk Kampung Lonek.

Dalam program tersebut, JAPEN turut mengedarkan risalah berkaitan inisitif kerajaan yang lain seperti mySalam, e-Tunai dan PekaB40 serta menawarkan perkhidmatan pendaftaran mySalam dan e-Tunai kepada masyarakat yang dilawati.

Manakala menurut seorang penduduk Zulkeffley Abd Razak, 37, yang merupakan seorang guru amat teruja apabila mengetahui dirinya layak mendaftar untuk mySalam walaupun bukan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

“Pada mulanya saya ingatkan mySalam hanya untuk penerima BSH sahaja, rupanya yang lain pun layak menerimanya,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, Pejabat Kesihatan Daerah Jempol turut mengadakan Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) Bergerak yang memberikan perkhidmatan saringan kesihatan percuma kepada 45 buah rumah yang melibatkan 93 orang penduduk, di sini dan ia merupakan program julung kali diadakan oleh Pejabat Kesihatan bersama Pejabat Penerangan Daerah Jempol.

Hadir sama adalah Pegawai Kesihatan Daerah Jempol, Dr Ariza Zainudin serta Ahli Jawatankuasa KOSPEN Kampung Lonek.

-AK

Tinggalkan komen anda