Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Jadikan Membaca Gaya Hidup Masyarakat

By 28 Februari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Parimala Devi Suppiah (Jelebu)

JELEBU, 28 Feb (Malaysiaaktif) – Dewasa kini amalan membaca buku semakin berkurangan dalam kalangan rakyat, lebih-lebih lagi dengan adanya telefon pintar sejajar dengan perkembangan teknologi yang kian pesat.

Bagi memupuk amalan membaca, Perpustakaan Awam Cawangan Jelebu telah mengadakan Karnival Membaca dan Pesta Buku Peringkat Daerah Jelebu yang berlangsung selama dua hari pada 26 dan 27 Februari.

Menurut wakil Pegawai Daerah Jelebu, Shazwi Abdul Razak, para pelajar dan masyarakat sekitar Jelebu perlu memanfaatkan perpustakaan di daerah itu dengan sebaiknya, lokasinya yang strategik berhampiran dengan sekolah dan kawasan perumahan membolehkan lebih ramai orang berkunjung ke sana.

“Tahun ini pihak penganjur juga turut menganjurkan pesta buku yang melibatkan lapan syarikat pembekal buku dan ini membolehkan orang ramai untuk mendapatkan buku yang diminati mereka,” katanya ketika ditemui.

Pelajar sekolah di pameran pesta buku.

Pelajar sekolah di pameran pesta buku.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, Bakri Sawir, ketika merasmikan karnival tersebut berkata, program yang merakyatkan budaya membaca tersebut telah diadakan sejak tahun 2017 atas inisiatif Jawatankuasa Gerakan Membaca Daerah Jelebu.

“Seperti yang kita sedia maklum, penganjuran kempen membaca adalah bertujuan untuk meningkatkan tabiat membaca sebagai budaya dan gaya hidup masyarakat kerana menurut kajian pada tahun 2006, purata masyarakat Malaysia membaca hanya dua buah buku setahun,” ujar beliau.

Tambah Bakri lagi, tahap minat membaca dalam kalangan masyarakat merupakan salah satu indikator dalam menentukan kualiti pendidikan sesebuah negara dan ukuran ini menentukan kemajuan dalam bidang pendidikan kerana dalam era globalisasi yang bersifat terbuka ini menuntut kita untuk mencari ilmu sebanyak yang mungkin.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Hamdan Nordin.

-AK

Tinggalkan komen anda