
Laporan/foto: Lim Ann Teck / Noor Haswan Noor Azman
GUA MUSANG, 25 Feb (MalaysiaAktif) – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan kerjasama Jabatan Penerangan Kelantan, Jabatan Penyiaran Kelantan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) negeri Kelantan & Terengganu , Suruhanjaya Pilihan raya, Polis dan Jabatan Kesihatan telah sama-sama berkolobrasi dalam menjayakan Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bertempat di perkampungan Orang Asli Pos Gob, Gua Musang.
Untuk sampai ke penempatan Orang Asli di Pos Gob, rombongan jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat terpaksa menempuh perjalanan yang penuh cabaran dan risiko di mana masa yang diambil untuk sampai ke destinasi penempatan Orang Asli tersebut selama 8 jam.
Menurut Pengurus Pengumpulan Semula (PRS) JAKOA, Kuala Betis, Mohamad Zamri Ismail, 53, pada musim hujan perjalanan ke Pos Gob dari Bandar Gua Musang ada kalanya mengambil masa selama 32 jam.
āIni merupakan satu perjalanan yang memeritkan kerana jalan ke Pos Gob hanya menggunakan jalan lori balak, banyak tempat-tempat yang berbahaya kerana jalan berlumpur, berliku dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan biasa.
Tambah beliau, kenderaan 4×4 juga banyak kali terkandas untuk sampai ke Pos Gob kerana keadaan jalan yang teruk dan tiada penyelenggaraan. Sepanjang perjalanan ke Pos Gob hariĀ ini melihatkan dua buah Land Rover dan sebiji Hilux juga telah terkandas.
āOleh itu, teknik-teknik pemanduan amat penting untuk memastikan kita boleh sampai ke destinasi dan keadaan kenderaan juga perlu dipastikan dalam keadaan baik seperti tayar lebih besar, ketinggian kenderaan yang sesuai dan kelengkapan āoff roadā iaitu āwinchā tidak mengalami masalah,āujar beliau.
Pegawai JAKOA Gua Musang, Mohamad Yesrinal Ghani, 41, menjelaskan penempatan Pos Gob di Gua Musang mempunyai 12 buah kampung masyarakat Orang Asli bagaimanapun hanya lima kampung sahaja yang berdaftar dengan JAKOA.
Tambahnya lagi, Pos Gob mempunyai penduduk seramai 720 orang yang terdiri daripada suku kaum Temiar atau Senoi dan seluruh rumah masyarakat Orang Asli di sini masih belum ada bekalan elektrik.ā
Menurut Tok Batin Pos Gob, Liman Alang, 63, kini terdapat 26 buah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan semua masyarakat orang Asli di Pos Gob sudah menggunakan air terawat untuk memasak dan kegunaan harian.
“JAKOA menyediakan kemudahan “walleyset” atau radio amatur di Pos Gob untuk berhubung dengan Ibu Pejabat JAKOA Putrajaya, Kota Bharu dan Gua Musang.ā
Asan Angah, 43, merupakan seorang porter Pos Gob telah diberi tanggungjawab untuk melaporkan segala peristiwa yang berlaku di Pos Gob melalui “walleyset” kepada Ibu Pejabat JAKOA. Beliau perlu melapor suasana di Pos Gob setiap hari kepada JAKOA bermula jam 8.30 hingga 9.00 pagi.
āJika siaran “welleyset” kurang jelas saya bertanggungjawab memohon bantuan kecemasan dengan menghubungi Ibu Pejabat JAKOA bagi mendapat perkhidmatan helikopter jika berlaku kemalangan serius atau kecemasan bersalinā.
Tujuan utama program MEKAR yang diadakan selama 3 hari 2 malam ini adalah untuk menyediakan perkhidmatan mendaftar, menukar kad pengenalan dan mendaftar sijil kelahiran kepada masyarakat Orang Asli di Pos Gob ini di samping memberi penjelasan kepada mereka tentang insentif-insentif kerajaan, pemeriksaan kesihatan dan mendaftar sebagai pengundi.
Selain daripada aktiviti tersebut, aktiviti secara santai juga turut diadakan bersama masyarakat Orang Asli seperti pertandingan karaoke, sukan rakyat dan gotong royong membersih sekitar kawasan kediaman turut diadakan.
Program turun padang atau ‘outreach’ bertemu rakyat untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat kini menjadi tanggungjawab semua jabatan kerajaan yang harus dilaksanakan bagi memastikan masyarakat terpencil tidak ketinggalan daripada pelbagai sudut khususnya maklumat terkini.

Pengarah Penerangan Negeri menyampaikan buku Dasar-Dasar Kerajaan kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Dato Ruslin Jusoh.
Jabatan Penerangan Negeri Kelantan dan Pejabat Penerangan Daerah Gua Musang turut berperanan dalam program ini dengan memberi penjelasan dan mengedar risalah mengenai insentif e-Tunai, mySalam, i-Suri serta menerangkan berkenaan penularan dan langkah-langkah pencegahan penyakit COVID-19 kepada mereka yang hadir.
Usaha berterusan JAKOA membantu masyarakat orang asli membina Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan menyediakan air terawat membolehkan masyarakat orang asli Pos Gob menikmati kehidupan seperti masyarakat di luar sana.
Program MEKAR ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Dato’ Ruslin Jusoh dan Jabatan Pendaftaran Negara berjaya mendaftar dan memberi surat beranak kepada 21 orang penduduk Pos Gob yang tiada sijil kelahiran.
-NAZ