
Laporan/foto: Nuratirah Abdullah/Jaed Tepus (Sarawak)
KUCHING, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Komuniti Harapan Malaysia (KHM) memiliki peranan besar dalam membantu pihak kerajaan persekutuan menyebarkan dasar, pencapaian dan polisi kerajaan kepada masyarakat setempat dari masa ke masa.
Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr. Kelvin Yii Lee Wuen, percaya KHM akan mampu untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat di sekeliling mereka.
“KHM haruslah menjadi komunikator yang efektif dengan menggunakan pelbagai medium komunikasi terkini seperti media sosial.
“Sebagai contoh, KHM haruslah membantu dalam menyebar maklumat terkini berkaitan wabak Koronavirus iaitu langkah-langkah pencegahan yang orang awam harus ambil dalam usaha membendung wabak ini daripada terus merebak,” katanya sempena majlis Gong Xi Fa Cai@Komuniti, di sini kelmarin.
Kelvin turut mengingatkan agar segala maklumat yang hendak disebar haruslah benar dan sahih agar masyarakat tidak terkeliru dengan maklumat kurang tepat yang mungkin mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat dan turut memuji usaha JaPen Sarawak atas inisiatif berterusan dalam menyebarkan maklumat berkaitan wabak Koronavirus kepada masyarakat setempat di Sarawak dengan menyebarkan risalah yang telah dicetak dalam lima bahasa.
“JaPen Sarawak kini sedang giat mengadakan program ‘Info on Wheels’ (IoW) yang melibatkan hebahan maklumat melalui unit bergerak JaPen di seluruh negeri.
“Selain menyebarkan risalah berkaitan wabak Koronavirus, pegawai terlibat juga menyampaikan maklumat berkaitan inisiatif-inisiatif kerajaan yang lain seperti e-Tunai Rakyat, i-Suri, Peka B40 serta banyak lagi bagi memastikan rakyat mengetahui apakah langkah-langkah untuk mendapatkan faedah melalui inisiatif-inisiatif yang ditawarkan tersebut,” katanya lagi.
-SH