
Laporan/foto: Fasharina Kholil/Majlis Daerah Sik (Sik)
SIK, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Menyedari kepentingan kemahiran pertolongan cemas, Kelab Sukan, Kebajikan dan Rekreasi Majlis Daerah Sik (MDS) mengambil insiatif bagi memberi pendedahan kepada para peserta menerusi latihan yang diadakan.
Menurut Pengerusi Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi MDS, Muhammad Hazril Shuib, fokus utama latihan ini diadakan adalah bagi memberi pendedahan kepada peserta apa yang harus dilakukan seandainya berdepan dengan situasi kecemasan samaada berada di rumah atau di mana saja.
“Sekarang ini kita sering mendengar kes seperti bayi tercekik, melecur dan sebagainya, dan seandainya kita mempunyai kemahiran asas pertolongan cemas mungkin kita dapat membantu mangsa tersebut.
“Memberi bantuan kecemasan yang betul mampu mengurangkan risiko keadaan menjadi lebih teruk malah dalam sesetengah kes ia dapat menyelamatkan nyawa,” katanya yang ditemui sempena Latihan Asas Pertolongan Cemas dan Keselamatan Diri, di Bilik Mesyuarat MDS, di sini semalam.
Hazril turut menjelaskan, ilmu pertolongan cemas penting kerana mangsa dapat diberikan rawatan awal sebelum bantuan paramedik sampai seterusnya di bawa ke hospital atau klinik terdekat.
“Jika setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya seorang ahli yang ada kemahiran ini sekurang-kurangnya dapat merawat mangsa sebelum diberi rawatan yang khusus,” katanya lagi.
-SH