Laporan/foto: Iswandy Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Kemiskinan hidup tidak seharusnya dijadikan alasan ibu bapa di kawasan luar bandar untuk mengabaikan pendidikan anak-anak mereka.
Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang, berkata penduduk luar bandar harus menyedari pendidikan adalah aset penting dan mampu mengubah taraf hidup sama ada anak itu sendiri ataupun keluarga mereka pada masa hadapan.
“Isu kemiskinan di luar bandar akan berlarutan jika pendidikan masih tidak menjadi keutamaan dan sebab itu kita harus memastikan ibu bapa supaya sedaya upaya menghantar anak-anak ke sekolah.
“Ini kerana hanya pendidikan dapat mengubah kehidupan seseorang itu menjadi lebih baik dan jika anak-anak kita berjaya dalam pendidikan sudah pasti mereka boleh mengubah keadaan ekonomi keluarga,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Ai, di sini kelmarin.
Menurut Jugah, menjadi keutamaannya untuk meningkatkan prasarana dan tahap pendidikan warga Lubok Antu kerana hanya melalui pendidikan sesuatu bangsa dan konstitusi itu dapat membangun.
“Memang di Malaysia rakyatnya terpelajar, namun masih ramai lagi yang tidak melanjutkan pengajian di peringkat menara gading dan golongan inilah yang paling terdedah kepada peningkatan kos sara hidup kerana tidak mendapat kerja yang berpendapatan tinggi sesuai dengan kelayakan mereka.
“Untuk mengatasi perkara ini kerajaan telah menyediakan pelan jangka masa panjang membabitkan pembangunan modal insan dan prasarana secara total memandangkan Lubok Antu adalah sempadan utama antara Malaysia dengan Indonesia di bahagian selatan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para ibu bapa agar tidak meletakkan tanggungjawab mendidik kepada para guru sahaja sebaliknya ibu bapa juga berperanan dalam membentuk sahsiah pelajar.
“Kerjasama erat antara guru dan ibu bapa mampu melahirkan murid yang cemerlang dan Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang membangun pesat seharusnya terus melahirkan generasi yang lengkap dengan ilmu pengetahuan supaya dapat bersaing dalam apa bidang kelak.
“Bagaimanapun, jika ada ibu bapa yang leka dan tidak memberikan perhatian kepada pembelajaran anak-anak di sekolah macam mana kita mahu melahirkan generasi yang maju atau berilmu pengetahuan,” tambahnya.
-SH