
Laporan / Foto : Khairudin AM (Negeri Sembilan) / Rozita Ibrahim (Politeknik Port Dickson)
PORT DICKSON, 19 Feb (Malaysiaaktif) – Semangat sukarelawan dan amalan gotong-royong yang menjadi tunjang perpaduan masyarakat sejak dulu lagi wajar dikekalkan dan diwarisi oleh generasi masa kini.
Sehubungan dengan itu, Masjid Kariah Telok Kemang di sini telah menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (Program CSR) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Port Dickson serta pelajar-pelajar daripada Politeknik Port Dickson (PPD).
Antara objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar akan kerjasama bersama masyarakat dan pihak luar melalui program-program yang dijalankan seperti pemetaan kubur, mengecat semula kawasan masjid, membersihkan perkarangan masjid dan sebagainya.
Menurut seorang pelajar PPD selaku ketua program tersebut, Nurul Auni, 19, beliau berasa teruja apabila diberi peluang untuk bersama-sama menjayakan program tersebut.
“Kami berharap agar program-program seperti ini lebih banyak dianjurkan agar para pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berpeluang menimba seberapa banyak pengalaman dalam program sukarelawan sebagai persediaan sebelum melangkah ke dunia pekerjaan kelak,” katanya.
Tambah beliau lagi, program seumpama ini juga amat bersesuaian untuk golongan belia terutama dalam menyemai semangat kesurelawan dan perpaduan dalam masyarakat.
-AK-