
Laporan/foto: Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)/Muhammad Nabilsyafiq Mohd Hamzah (Pejabat Menteri Besar)
KUALA PILAH, 6 Feb (Malaysiaaktif) – Seramai 16 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 21 orang calon Petaksiran Tingkatan Tiga (PT3) Sekolah Menengah Agama (SMA) Ulu Jempol, menyasarkan 9A bagi SPM dan 12A bagi PT3 menerusi Program Menggapai Bintang di sekolah berkenaan, pada Selasa.
Menurut Pengetua SMA Ulu Jempol, Mohd Radhi Ab Rahman, penetapan sasaran untuk peperiksaan PT3 dan SPM bagi tahun 2020 ini dibuat bagi memberi motivasi kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam kedua-dua peperiksaan tersebut.
“Sasaran dibuat pada awal tahun supaya mereka boleh membuat persiapan awal dan ianya pasti membuahkan hasil dengan kerjasama yang baik antara guru dan ibu bapa,” ujarnya.
Menurut salah seorang calon PT3, Ainur Shamimi Ariffin, 15, 12A tidak mustahil untuk diperoleh jika tumpuan diberikan bersungguh-sungguh dan persediaan dibuat daripada awal tahun.
“Saya lebih gemar untuk belajar secara berkumpulan, ia lebih mudah berbanding belajar sendiri kerana setiap topik dapat dibincangkan bersama rakan-rakan dan jika ada yang kami tidak faham, kami akan terus bertanya kepada guru,” katanya.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata usaha yang dilakukan oleh SMA Ulu Jempol ini amat baik dalam memastikan kecemerlangan pelajar-pelajar sekolah dapat dicapai dengan sasaran agar ia menjadi kenyataan.
“Saya menyokong penuh penganjuran program sebegini dan berharap agar program ini dapat memberi inspirasi kepada anak-anak untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
“Kerajaan negeri juga amat komited dalam membangunkan pendidikan generasi yang bakal menjadi pewaris masa hadapan,” ujarnya ketika merasmikan program tersebut.
Dalam pada itu, Aminuddin turut mengumumkan bantuan sebanyak RM50 ribu untuk sekolah tersebut.
– AK