Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Warga Emas Tidak Dipinggirkan

By 25 Februari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Khairudin AM (Negeri Sembilan) / Rozita Ibrahim (Politeknik Port Dickson)

SEREMBAN, 25 Feb (Malaysiaaktif) – Warga emas merupakan golongan yang memerlukan perhatian daripada semua pihak dan isu kebajikan mereka hendaklah diterapkan dalam kalangan masyarakat terutamanya pada anak-anak muda menerusi pendedahan terhadap program yang dapat melahirkan rasa kasih sayang terhadap warga emas.

Sehubungan dengan itu, Kelab Sekretariat Rakan Muda Politeknik Port Dickson dengan kerjasama daripada Persatuan Silat Cekak Pusaka Hanafi, Pengakap Kelana Laut dan Kelab Rakan Pusat Islam institusi tersebut telah menganjurkan ‘Program Khidmat Bakti’ di Pusat Jagaan Red Spot, di sini, pada Ahad.

WhatsApp Image 2020-02-25 at 15.57.53 (1)

Peserta bergotong royong membersihkan halaman pusat jagaan.

Program tersebut bertujuan untuk memupuk jati diri dan sahsiah diri yang mulia dalam diri para pelajar serta member kesedaran kepada mereka agar lebih menghargai warga tua.

Menurut Ketua Program Khidmat Bakti, Wardina Nadhirah, 19, beliau berasa bangga dengan para pelajar yang menyertai program ini kerana tidak ramai dalam kalangan generasi muda ingin melakukan kerja kebajikan seperti ini.

“Program ini juga antara aktiviti yang sesuai untuk generasi muda dalam menyemai sifat kasih sayang dan belas ihsan terhadap warga emas serta mengukuhkan lagi jalinan kerjasama di antara para peserta,” ujarnya ketika ditemui dalam program tersebut.

WhatsApp Image 2020-02-25 at 15.57.53

Aktiviti mengecat pagar di pusat jagaan.

Tambah beliau lagi, warga emas di pusat jagaan tersebut juga meluahkan rasa terharu dan rasa dihargai akan kehadiran para peserta program.

“Semoga kehadiran para peserta program ini memberikan sinar kepada mereka untuk terus tersenyum dan dapat rasakan masih ada lagi orang yang menyayangi mereka,” katanya.

Dalam pada itu, pihak Kelab Sekretariat Rakan Muda Politeknik Port Dickson berharap agar program-program kebajikan masyarakat seperti ini dapat dianjurkan dengan lebih meluas ke seluruh Institut Pengajian Tinggi di Malaysia.

Antara aktiviti yang dilakukan pada program tersebut ialah sesi ramah mesra, aktiviti mengemas, mengecat, memasak dan menjamu selera bersama warga emas di sana.

-AK

Tinggalkan komen anda