
Laporan/ foto: Mohd Firdauf/ Mohd Shahrossalleh (Jerantut)
JERANTUT, 15 Mac (Malaysiaaktif) – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Jerantut telah mengadakan pendekatan bersemuka bersama pelajar-pelajar SMK Pusat Penyelidikan Tun Razak sempena program sehari bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Jerantut, AADK dan Pejabat Penerangan Daerah Jerantut bagi berkongsi senario semasa dadah di Jerantut dan pameran jenis-jenis dadah kepada pelajar.
Wakil Pegawai AADK Jerantut, Khairul Amri bin Ibrahim berkata, AADK lebih tertumpu untuk perangi syabu habis-habisan. Hal ini kerana pengambilan syabu yang diambil secara berlebihan boleh menyebabkan seseorang itu mengalami masalah mental.
“Ketum pula adalah lebih bahaya daripada dadah kerana kesan jangka panjangnya boleh merosakkan sistem dalaman badan manusia. Ini disebabkan struktur daun ketum yang begetah. Pengambilan ketum sebagai ubat dan penawar yang dikatakan oleh masyarakat dahulu adalah mitos dan tidak boleh diguna pakai lagi. Individu yang terjebak dengan dadah menghadapi kesukaran untuk kembali ke pangkal jalan,” katanya semasa program tersebut.
Menurutnya lagi, penggunaan dadah kini semakin membimbangkan kerana melibatkan unsur jenayah di mana penjenayah meletakkan dadah di dalam minuman yg boleh menyebabkan berlaku jenayah lain seperti pemerkosaan, pornografi, dan peras ugut.

Pegawai Penerangan Daerah Jerantut memberi taklimat ringkas mengenai jati diri dalam membendung gejala dadah.
Menurut Pegawai Penerangan Jerantut, Nursaliza Shapie, dalam membendung masalah dadah dalam kalangan pelajar dan remaja, setiap pelajar perlu memiliki jati diri agar tidak mudah terjebak dan rasa ingin mencuba sesuatu yang baharu dan cenderung mengambil dadah. Ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat memainkan peranan penting dalam menangani masalah dadah agar tidak berleluasa.
Sementara itu, pelajar Nur Aini Shahidah Rosli berkata, program penerangan berkenaan dadah perlu diteruskan lagi di semua sekolah agar dapat membendung pengambilan dadah dalam kalangan pelajar. Penerangan ini dapat memberi pendidikan kepada pelajar tentang bahayanya dadah.
-KN