
Laporan/foto: Ros Naini Arshad/Zamri Abd Razak (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Demi menjaga kemaslahatan ummah khususnya di Terengganu, satu garis panduan hiburan, persembahan kebudayaan, pelancongan dan sukan Negeri Terengganu telah dirangka pada awal tahun ini.
Garis panduan ini bertujuan memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di negeri ini patuh syariah. Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Hal Ehwal Terengganu, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu serta Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu sama-sama bertanggungjawab dalam memastikan pelaksanaan syariah di Terengganu berjalan lancar.

Gimik pelancaran Kad Sukarelawan Syariah disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sehubungan itu, Kempen Indahnya Hidup Bersyariat telah dilancarkan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan. Penguatkuasa undang-undang syariah atau individu yang diberi kuasa untuk melaksanakannya dan sentiasa berpegang kepada prinsip keadilan, bertindak dengan bijaksana tanpa kegusaran mana-mana pihak serta berintegriti.
Program pelancaran tersebut telah diadakan di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar ketika berucap merasmikan Kempen Indahnya Hidup Bersyariat.
“Saya amat setuju dengan pelaksanaan kempen ini dan secara tidak langsung akan mengurangkan kadar ketidakpatuhan syariah di negeri Terengganu ini. Penglibatan orang awam dalam kempen ini memudahkan pihak berkuasa untuk memantau sebarang ketidakpatuhan syariah dari berleluasa,” kata Wan Kamilah Wan Nasir dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manir.
“Saya harap kempen ini diteruskan sehingga indeks ketidakpatuhan syariah di Terengganu dapat diturunkan ke tahap minima. Ia penting sebagai salah satu cara untuk mendidik generasi akan datang,” ujar Mohamad Ismail, 52, dari Kampung Wakaf Mempelam.
Melalui ucapan perasmian oleh Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, beliau mengajak semua untuk bersama-sama memainkan peranan dalam barisan pelaksanaan syariah dan perundangan yang dibenarkan dalam membina sebuah negeri yang sejahtera.
Program yang berinformasi ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari segenap lapisan masyarakat.
-ii-