Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

‘Digital Preneurs Bizz Bazaar’ -Cungkil Bakat Usahawan Muda

By 1 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Khairudin AM (Negeri Sembilan) / Rozita Ibrahim (Politeknik Port Dickson)

PORT DICKSON, 29 Feb (Malaysiaaktif) – Budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) telah lama diperkenalkan bagi memupuk dan melahirkan seorang usahawan yang berjaya.

Penerapan nilai keusahawanan itu juga dapat membentuk para pelajar sebagai pencipta kerja di masa hadapan dan bukan sekadar sebagai pencari kerja.

Bagi merealisasikan impian pelajar ke arah menjadikan bidang perniagaan sebagai salah satu kerjaya, Jabatan Perdagangan Politeknik Port Dickson (PPD) dengan kerjasama Unit Keusahawanan PPD telah menganjurkan program Digital Preneurs Bizz Bazaar yang bertempat di Dewan Wawasan PPD, Rabu lalu.

Seramai 226 orang pelajar yang mengikuti kursus Digital Entrepreneurship Development sesi Disember 2019 telah menyertai program tersebut dan ia merupakan penyertaan terbesar sejak kursus itu diperkenalkan.

Program tersebut juga secara tidak langsung dapat menyedarkan pelajar bahawa mereka tidak boleh hanya bergantung kepada pengetahuan akademik semata-mata malah mereka perlu juga mempunyai kemahiran lain sebagai persediaan menempuh bidang pekerjaan yang semakin mencabar sebaik tamat pengajian.

Antara aktiviti pelajar ketika program berlangsung.

Antara aktiviti pelajar ketika program berlangsung.

Pengarah program Digital Preneurs Bizz Bazaar, Zuliana Zainal Abidin, berkata program yang dijalankan ini mencerminkan usaha bagi membantu pelajar memiliki nilai tambah lain seperti keusahawanan.

“Pelajar perlu memiliki kemahiran tambahan seperti kemahiran berkomunikasi dan menyelesaikan masalah agar mereka menjadi lebih kreatif dan lebih berdaya saing dalam pasaran kerja kelak,” ujarnya.

Beliau berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memberi keyakinan kepada pelajar seterusnya membantu pelajar agar dapat menonjolkan diri secara praktikal ke arah menjadi seorang usahawan muda yang berjaya.

Sementara itu, salah seorang peserta program, Nur Eliza Adhwa Mohd Rozaidi, berkata pelbagai pengalaman baharu dipelajarinya berkaitan aktiviti keusahawanan dalam program tersebut yang tidak diperoleh dalam kursus yang diambil di dalam kelas.

“Pelajar secara tidak langsung dapat meluaskan pemahaman serta dapat mengamalkan prinsip-prinsip asas dalam perniagaan dan keusahawanan,” katanya ketika ditemui.

Turut hadir, Ketua Jabatan Perdagangan PPD, Dr Mohamad Siri Muslimin dan Ketua Unit Keusahawanan PPD, Mohamad Salihin Jamian.

-AK

Tinggalkan komen anda