
Laporan / Foto : Khairudin AM (Negeri Sembilan) / Rozita Ibrahim (Politeknik Port Dickson)
KUALA PILAH, 8 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 30 orang belia bersama 15 orang fasilitator telah menjayakan perkhemahan ‘Fun In The Door’ anjuran Kelab Sekretariat Rakan Muda Politeknik Port Dickson dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Port Dickson, Kelab Rakan Muda Kuala Pilah dan Teluk Kemang di Kompleks Rakan Muda, di sini.
Program terebut telah berlangsung selama tiga hari dua malam dengan pelbagai pengisian aktiviti yang menarik dan dikendalikan oleh ahli jawatankuasa Kelab Sekretariat Rakan Muda Politeknik Port Dickson.
Objektif program ‘Fun In The Door’ adalah untuk memupuk kerjasama dalam kalangan para peserta dengan ahli kumpulan masing-masing serta menyelesaikan masalah bersama-sama dalam pelbagai situasi.
Menurut salah seorang peserta, Azwa Adriana, 19, beliau berasa teruja dan gembira kerana dapat menyertai program tersebut dan berharap agar kelab Sekretariat Rakan Muda dapat menganjurkan lebih banyak aktiviti yang menarik seperti ini.
“Aktiviti semasa perkhemahan ini sangat padat dan penuh pengisian, ia membuatkan semua peserta tidak menunggu dan berasa bosan.”
Pegawai Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mohd Nor Azli Mohd Daud, berkata golongan belia hendaklah diberikan pendedahan dengan aktiviti yang membina jati diri supaya mereka tidak terdedah daripada melakukan perkara atau aktiviti yang tidak berfaedah pada masa lapang
“Perkara yang negatif dapat dibendung dengan melakukan aktiviti yang berfaedah dalam kalangan belia dan ini secara tidak langsung dapat membina sifat positif dalam diri mereka pada setiap masa,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Perkhemahan ‘Fun In The Door’.
-AK