
Laporan/foto: Nurazreen Abd Rahman (Seberang Perai Utara)/Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kepala Batas
KEPALA BATAS, 27 Mac (Malaysiaaktif) – Unit Task Force COVID-19 Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kepala Batas diwujudkan bagi menghulurkan sumbangan barangan keperluan asas seperti beras, minyak, gula, tepung dan lain- lain kepada 91 lokasi yang melibatkan 1,000 penerima bantuan yang telah dikenal pasti di beberapa kawasan di dalam Parlimen Kepala Batas seperti Bertam, Penaga dan Pinang Tunggal.
Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Kepala Batas Reezal Merican Naina Merican, berkata sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan oleh penerima yang hilang sumber pendapatan pada masa kini dan beliau juga menasihatkan warga Kepala Batas untuk sentiasa tabah dan sabar menghadapi dugaan ini serta mengikut arahan kerajaan untuk sentiasa berada dalam rumah.

Petugas Pusat Khidmat Parlimen Kepala Batas bertungkus lumus membantu melancarkan agihan sumbangan kepada penerima.
“Inisiatif ini dilakukan bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh sesebuah keluarga, khususnya yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan oleh kerajaan di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Seorang penerima bantuan, Aminah Mahlim cukup terharu atas bantuan yang dihulurkan ini.
“Saya berasa terharu dan bersyukur dengan sumbangan yang diberikan ini, semoga Allah membalas jasa baik beliau,” katanya yang merupakan salah seorang penerima dari Kampung Selamat Selatan.
Penyerahan bantuan berjalan lancar dengan setiap petugas mematuhi etika keselamatan dengan memakai penutup muka, menggunakan pencuci tangan bagi menjaga kebersihan serta penjarakan sosial satu meter diamalkan seperti yang diarahkan.
-ii-