
Laporan/foto: Shah Hood/MEDKOM (Johor Bahru)
KOTA ISKANDAR, 19 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri merancang mewujudkan satu pelan mitigasi berhubung pergerakan keluar masuk antara Malaysia dan Singapura selepas perkara itu diputuskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) kali kedua, semalam.
Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad memaklumkan, pergerakan keluar masuk antara Malaysia dan Singapura yang melibatkan individu mempunyai kepentingan di negara jiran bagi melaksanakan tugasan dan perkhidmatan yang dikenal pasti keperluannya.
“Kerajaan negeri memohon agar perlaksanaan perintah kawalan pergerakan dikecualikan bagi mereka yang merupakan pemegang pas kerja dikeluarkan oleh kerajaan Singapura dan Malaysia seperti juruteknik, pemilik perusahan, pelajar, pekerja profesional serta warganegara asing yang menetap di sini.
“Larangan keluar dari negara bagi tujuan pelancongan dan menziarahi pula akan kekal di mana langkah-langkah pemeriksaan akan dijalankan di sempadan bagi menjamin kesihatan semua pihak,” katanya lagi.
Tambah beliau, satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pengarah yang berkaitan untuk membincangkan pelan mitigasi ditubuhkan bagi mengurus kepentingan antara Malaysia dan Singapura.
“Perbincangan ini akan diadakan bersama pegawai kerajaan Singapura selewatnya hari ini sebelum dibawa ke peringkat pusat.
Keputusan dari perbincangan itu akan dimaklumkan kepada pihak berkuasa untuk dilaksanakan,” ujarnya pada sidang Media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Johor kali kedua, di sini, semalam.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa atas berita kematian yang melibatkan pesakit ke-178 kes Coronavirus yang berlaku di negeri ini pada 17 Mac yang lalu.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Johor Azmi Rohani, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Samsol Bari Jamali dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Vidyananthan.
-NI-