Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Kerjasama Penduduk Kampung Terangi Labuan

By 3 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 3 Mac (Malaysiaaktif) – Kerjasama yang padu antara penduduk kampung menjadikan Labuan diterangi dengan cahaya berwarna-warni pada Pertandingan Keceriaan Lampu Sempena Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Patau-Patau 1, S. Roslee Matusin, kerjasama penduduk kampung yang erat menjadikan suasana kampung itu ceria dengan kerlipan lampu.

“Sebelum ini kawasan ini suram tetapi kini landskap kampung ini jauh berbeza dan menarik kunjungan orang kampung serta orang luar untuk datang melihat sendiri kecantikan lampu-lampu yang berwarna-warni.

“Hasil kerjasama penduduk kampung terutama golongan ibu dan anak muda sangat membanggakan kerana sanggup menyiapkan segala hiasan setiap malam selama sebulan tanpa mengenal penat,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Pintu gerbang yang turut dihiasi lampu berwarna-warni.

Pintu gerbang yang turut dihiasi lampu berwarna-warni.

Dalam pada itu, Pengerusi MPKK Sungai Bangat Osman Dullah, berpuas hati apabila kerja keras penduduk kampung berjaya menghasilkan rekaan lampu berbentuk kapal.

“Kami bergotong-royong sejak awal Februari lalu menghasilkan pelbagai hiasan lampu berwarna-warni termasuklah lampu berbentuk kapal dagang sebagai simbolik kepada pengangkutan yang pernah melalui sungai di kampung ini pada zaman dahulu.

“Kami menggunakan sebanyak 50 set lampu hiasan dan sekitar 200 lampu pelita bagi menghasilkan hiasan lampu berbentuk ikan marlin sebagai salah satu ikon bagi Pulau Labuan disamping tidak meninggalkan tema ‘Sayangi Wilayahku’.

“Alhamdulillah terima kasih atas bantuan orang kampung yang menyumbangkan tenaga dan idea bagi sama-sama menghasilkan lampu hiasan bagi pertandingan julung kali ini,” kongsinya.

Hiasan lampu berbentuk kapal di Kampung Sungai Bangat ini menarik perhatian ramai.

Hiasan lampu berbentuk kapal di Kampung Sungai Bangat ini menarik perhatian ramai.

Bagi seorang pengunjung Herman Kuli, 54, beliau amat berbangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh kampung-kampung yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

“Saya bersama keluarga sangat gembira dan berpuas hati apabila dapat melihat kecantikan lampu-lampu hiasan yang dihasilkan sendiri kampung-kampung yang turut serta.

“Saya mencadangkan pertandingan ini diadakan setiap tahun dan sudah pasti kami sekeluarga akan ‘pusing’ satu Labuan untuk melihat hasil kreativiti warga kampung yang luar biasa,” katanya.

Sebanyak 24 kampung mengambil bahagian dalam pertandingan anjuran Perbadanan Labuan itu dan proses penilaian akhir dijalankan selama tiga hari bermula 27 hingga 29 Februari lalu.

-SH

Tinggalkan komen anda