Laporan/foto : Anuar Che Amat (Perlis)
PADANG BESAR, 2 Mac (Malaysiaaktif) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Kerajaan Negeri Perlis terus komited di dalam usaha menganjurkan Program Pesta Angin Timur Perlis (PAT) 2020 edisi ke-8 yang telah bermula dari 28 Februari hingga 1 Mac 2020 di Jalan Lintasan Tengah, Kampung Oran, Mata Ayer, Perlis.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dr Noor Zari Hamad berkata, Pesta Angin Timur (PAT) yang memasuki edisi kelapan ini merupakan salah satu program di bawah kalendar pelancongan budaya dan bertujuan untuk menyerlahkan lagi keunikan seni budaya setempat sebagai salah satu produk pelancongan.
“Pesta Angin Timur ini adalah program pelancongan budaya daripada sembilan program yang diadakan di peringkat negeri bagi merancakkan lagi Tahun Melawat Malaysia 2020.
“Matlamat utama pesta ini adalah bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dan kerjasama antara penduduk setempat dan kerajaan dan ianya juga dapat membantu meningkatkan ekonomi masyarakat tempatan melalui aktiviti jualan,” katanya lagi.
Tambah Noor Zari, MoTAC mensasarkan kehadiran pulangan pendapatan sebanyak RM505 ribu dengan kehadiran pengunjung seramai 117,000 orang pada PAT 2020 tahun ini.
“Saya yakin Pesta Angin Timur Perlis dapat menarik tumpuan masyarakat dari dalam dan luar negara kerana ia diadakan di dalam sawah padi yang menjadikan acara ini sangat unik.
“Konsep PAT ini mendapat bantuan dari 30 agensi kerajaan dengan menampilkan kelainan dan tarikannya yang tersendiri,” ujarnya.
Program ini turut dilengkapi dengan kenduri rakyat yang diadakan pada 29 Mac di mana para pengunjung disajikan dengan menu masakan kampung dan masakanan tradisi masakan Negeri Perlis iaitu Laksa Perlis, Pulut Kacau, Pulut Pelam dan beberapa jenis makanan lagi turut disajikan kepada para pengunjung.
Sepanjang tiga hari penganjuran PAT 2020, terdapat pelbagai program sisipan telah disusun antaranya aktiviti sukan rakyat seperti Larian PAT 2020, pertandingan Explorace mycencus D’Bendang, lumba kerbau besi, menangkap itik, futsal bendang dan lumba gerek dalam bendang.
Pada tahun 2019, PAT telah mencatatkan pulangan pendapatan berjumlah RM481,000 dengan kehadiran seramai 112,272 orang pengunjung sepanjang tiga hari hari pesta ini berlangsung dan ia menunjukkan peningkatan berbanding tahun PAT 2018 di mana jumlah kehadiran khalayak seramai 108,479 orang dengan jumlah pulangan pendapatan sebanyak RM 410,500.
Perasmian Pesta Angin Timur 2020 telah disempurnakan oleh Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rashid dan disambut oleh Tuanku Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajjah Lailatul Shareen Akashah Khalil.
Turut hadir, Menteri Besar Perlis Azlan Man, Exco Pelancongan Negeri Perlis Asmaiza Ahmad, barisan kepimpinan kerajaan negeri Perlis, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.
-NI-