
Laporan/foto: Shah Hood/Najib Mohaini (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 6 Mac (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad telah menamakan gabungan bersama sepuluh Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) yang baharu sebagai Makmur Johor.
Hasni Mohammad berkata, “sebagai sebuah negeri yang maju dan sentiasa mendahului dalam banyak perkara, adalah menjadi tanggungjawab hakiki saya sebagai rakyat Johor dan Menteri Besar bersama barisan Exco yang baharu untuk terus memakmurkan negeri ini.
Beliau turut menyeru agar semua pihak dapat bergabung tenaga untuk memakmurkan dan memanfaatkan negeri Johor yang memiliki banyak potensi tersirat.
“Sudah pastinya, kita mahu yang terbaik untuk negeri ini dan saya percaya, barisan Exco Makmur Johor ini akan bekerja untuk semua.
“Bersetialah untuk Johor, berbaktilah untuk Johor, bekerjalah untuk Johor kerana akhirnya, kita semua mahukan Johor yang lebih makmur,” katanya semasa ditemui pada sidang media bersama barisan Exco gabungan baharu di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, di sini, pagi tadi.
Pada sidang media itu juga, beliau telah memperkenalkan barisan gabungan Exco Johor yang baharu antaranya ialah Samsolbari Jamali (Semarang), Ayub Jamil (Rengit), Zaiton Ismail (Sungai Balang), Onn Hafiz Ghazi (Layang-Layang), Vidyananthan (Kahang), Mazlan Bujang (Puteri Wangsa), Mohd Solihan Badri (Tenang), Tosrin Jarvanthi (Bukit Permai), Mohd Izhar Ahmad (Larkin) dan Dr Chong Fat Full (Pemanis).
Terdahulu, barisan Exco Johor yang baharu telah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Bukit Serene.
-NI-