Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Dua Buah Kampung

By 28 Mac 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Nabila Bohari/MEDKOM (Johor Bahru)

ISKANDAR PUTERI, 28 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan telah mengambil keputusan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (Enhanced Movement Control Order) mulai 12.00 tengah malam 27 Mac 2020 hingga 9 April 2020 yang melibatkan Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Vidyananthan Ramanadhan, PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut dan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari ini.

“Beberapa langkah telah diambil antaranya, sekatan jalan raya di semua akses masuk dan keluar terutamanya di jalan utama Simpang Renggam-Benut dan Simpang Renggam-Kluang di kedua-dua hala oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut dibantu oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Justeru itu, semua penduduk tempatan dan pelawat yang telah berada di kawasan ini tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh ini manakala bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kedua-dua kawasan ini sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan,” katanya lagi.

Tambah beliau, pelaksanaan home surveillance akan dilaksanakan dengan lebih tegas di bawah pengawasan ketat oleh anggota pasukan keselamatan di mana semua aktiviti perniagaan turut dihentikan, manakala masjid dan surau akan ditutup sepenuhnya.

“Seluruh penduduk di kawasan ini akan menerima bantuan makanan dan keperluan asas yang akan diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Medical Base akan diwujudkan di balairaya kampung merangkumi kemudahan fasiliti Active Case Detection (ACD),” ujarnya dalam kenyataan media Situasi Semasa Kes COVID-19 Negeri Johor, semalam.

Vidyananthan berharap dengan pelaksanaan perintah ini, semua penduduk dapat bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas kesihatan serta mematuhi arahan pihak berkuasa dan sekiranya memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan mereka boleh menghubungi talian khas 07-7735224/07-7722434.

Sehingga semalam, Negeri Johor telah melaporkan penambahan sebanyak 43 kes COVID-19 yang menjadikan jumlah sebanyak 239 kes berlaku pertambahan sebanyak satu kematian pada 26 Mac 2020 menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian sebanyak enam orang.

Bagi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula, secara keseluruhannya di negeri Johor terdapat peningkatan pematuhan pada 26 Mac 2020 dengan peratus pematuhan sebanyak 96.12 peratus berbanding 95.29 peratus pada 25 Mac 2020 dan selepas ini, tiada lagi amaran kepada individu yang masih ingkar terhadap pelaksanaan PKP ini di mana pihak PDRM akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menangkap mereka yang masih berdegil.

Langkah PKPD telah dikuatkuasakan berikutan laporan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengesahkan terdapat sebanyak 83 kes positif jangkitan COVID-19 dan daripada jumlah itu, 61 kes positif (73.5 peratus) direkodkan di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam.
-NI-

Tinggalkan komen anda