Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Perintah Kawalan Pergerakan: Khidmat Tentera Akan Digunakan Bermula Ahad

By 20 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 20 Mac (Malaysiaaktif) – Khidmat tentera akan mula digerakkan Ahad ini bagi membantu polis memantauĀ pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan untuk memastikan rakyat berada di rumah masing-masing, dalam usaha membendung penularan kes COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan yakin dengan bantuan kawalan daripada pihak tentera, perintah ituĀ akan dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

“Kita harap rakyat akan lebih patuh dengan arahan yang diberikan,” katanya yang juga Menteri Pertahanan pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata berdasarkan laporan polis, terdapat peningkatan peratusan pematuhan rakyat dalam Perintah Kawalan Pergerakan.

“Jadi saya mewakili kerajaan ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada rakyat yang semakin sedar tentang bahaya penyakit ini dan patuh kepada kerajaan untuk berada di dalam rumah masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, terdapat insiden yang mana masih ada yang tidak mempedulikan arahan ituĀ dengan secara bebas bermain di taman permainan, makan di restoran, malah ada yang masih ingkar dengan arahan polis untuk bersurai.

“Polis boleh menggunakan Akta Polis sendiri untuk mengambil tindakan yang lebih keras kepada rakyat yang degil, tetapi seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin padaĀ peringkat awal ini kita akan menasihat dan tindakan berhemah akan dilakukan,” katanya.

Namun Ismail Sabri berkata pihak polis memaklumkan bahawa apabila tahap rakyat tidak boleh berkompromi dengan cara nasihat maka tindakan undang-undang akan dikenakan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda