
Laporan/foto: Musliha Yusof/Rabiaton Adawiah Ahmed Tajudin (Johor Bahru)/JaPen Ibu Pejabat
JOHOR BAHRU, 1 Mac (Malaysiaaktif) – Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan dalam Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang berlangsung di Istana Negara pagi tadi.
Kemelut politik tanahair yang menggusarkan seluruh rakyat Malaysia berakhir hari ini dengan pelantikan beliau dan masyarakat di selatan tanahair khususnya menyambut baik pelantikan ini.
Mohd Reduwan Saufian yang merupakan kakitangan swasta ketika ditemui menyatakan keterujaan dalam menerima Perdana Menteri yang baharu.
“Saya berasa amat bersyukur dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8, semoga keistimewaan kaum Melayu terjaga dan berupaya mempertahankan agama, bangsa dan negara,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Bagi penjawat awam, A. Eyamalay, 59, pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri tidak perlu dipertikaikan kerana kemampuan beliau mentadbir sudah diketahui semenjak menjadi Menteri Besar Johor pada tahun 1986.
“Tiada isu besar mengenai corak pentadbiran yang bakal dipikul oleh beliau sekiranya menjawat jawatan PM memandangkan beliau berpengalaman luas ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri satu masa dahulu,” ujarnya.
Manakala Penghulu Mukim Ayer Hitam, Muar, Mohd Afezan Yahya, 43, berpendapat pelantikan ini mampu menyelesaikan kemelut politik negara yang agak bercelaru.
“Sebagai warga Muar, saya amat berbangga dan berharap beliau boleh membantu merancakkan lagi pembangunan di daerah ini, khususnya mempergiatkan lagi hub pendidikan dan perabot di Pagoh dan diharapkan juga dapat memberi impak segera dan besar kepada ekonomi penduduk di mukim Ayer Hitam, khususnya.
“Lantikan beliau ini pastinya telah diambil kira dengan setelitinya oleh YDPA dan sebagai rakyat, kita harus menerima dengan baik dan jangan mempersoaljan ketetapan daripada Agong,” katanya.
Tan Sri Muhyiddin Yassin mula berkecimpung dalam kancah politik sebagai Ahli Parlimen Pagoh pada tahun 1978, beliau seterusnya diberi kepercayaan sebagai Menteri Besar Johor ke-13 pada tahun 1986 dan juga pernah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2009.
-SH