
Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/KKM
PUTRAJAYA, 30 Mac (Malaysiaaktif) – Tiga lagi kes kematian berkaitan COVID-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kes keseluruhan adalah sebanyak 37 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham, berkata kes kematian terkini melibatkan seorang wanita warganegara Malaysia berumur 46 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit autoimun.
“Beliau telah dirawat di Hospital Miri, Sarawak dan disahkan meninggal dunia pada 30 Mac (hari ini). Terdahulu terdapat dua kes kematian direkodkan, pertama seorang wanita warganegara Malaysia berumur 57 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara Indonesia dan telah dirawat di Hospital Sungai Buloh sebelum disahkan meninggal dunia pada 29 Mac lalu.
“Satu lagi kes kematian melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 47 tahun yang sebelum itu telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 23 Mac sebelum disahkan meninggal dunia pada pagi tadi,” katanya menerusi satu kenyataan media yang diedarkan hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut menjelaskan terdapat peningkatan 70 hospital yang menyediakan perkhidmatan saringan COVID-19 di semua negeri berbanding 57 sebelum ini.
“Hospital merawat COVID-19 bertambah daripada 26 ke 38 buah, melalui kerjasama Angkatan Tentera Malaysia dan pihak hospital unversiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya, di mana tujuh daripada hospital tersebut merupakan hospital khusus untuk rawatan pesakit COVID-19.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sedang merancang menambahkan bilangan katil menerusi pengenalpastian dan pengubahsuaian Institusi Latihan KKM (ILKKM) untuk menjadi pusat kuarantin dan rawatan dengan jumlah katil sebanyak 1,937 buah,” katanya lagi.