Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

48 Atlet Malaysia di Luar Negara Dalam Keadaan Baik

By 31 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/KBS

PUTRAJAYA, 31 Mac (Malaysiaaktif) – Semua 48 atlet-atlet Malaysia yang berada di 13 buah negara berlainan termasuk atlet profesional dan atlet-atlet di bawah persatuan-persatuan sukan berada dalam keadaan baik dan selamat.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata kesemua atlet berkenaan berada di luar negara atas pelbagai sebab termasuklah mengikuti pengajian tinggi/bersekolah, mewakili kelab luar negara sebagai atlet professional, mengikuti latihan atau pertandingan dan bermastautin tetap.

“Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan-persatuan sukan masing-masing telahpun berhubung dengan atlet-atlet tersebut untuk mengetahui perkembangan dan keadaan mereka dan juga telah menasihati mereka agar mematuhi perintah dan arahan yang dikuatkuasakan di negara terlibat.

“Institut Sukan Negara (ISN) juga akan terus memantau latihan dan laporan perkembangan atlet Program Podium antaranya melalui teknologi seperti jam pintar dan kaedah atas talian serta menasihati para jurulatih dan atlet-atlet untuk membuat pengubahsuaian terhadap program latihan atlet untuk mengekalkan kecergasan, fokus serta motivasi mengikut kesesuaian di negara masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Menurut Reezal, keadaan wabak COVID-19 di luar negara mungkin berubah dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan persatuan-persatuan sukan akan sentiasa memantau perkembangan dan keperluan dari semasa ke semasa serta bersedia untuk membantu atlet-atlet Malaysia di luar negara untuk pulang ke Malaysia sekiranya keadaan memerlukan.

“Atlet-atlet dan ahli keluarga adalah dinasihatkan untuk berdaftar dan berhubung dengan Kedutaan Malaysia atau Pejabat Konsulat Malaysia yang berdekatan untuk tujuan perkembangan dan laporan terkini dan juga sekiranya ada sebarang keperluan kecemasan.

“Menteri Luar Negeri Malaysia juga telah menasihati rakyat Malaysia yang berada di dua negara (Amerika Syarikat dan UK) untuk membuat perancangan awal untuk pulang ke Malaysia sebelum dua negara tersebut melaksanakan sekatan pergerakan dan semua penerbangan komersial mungkin diberhentikan,” tambahnya.

Tinggalkan komen anda