
Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/TUDM
PUTRAJAYA, 28 Mac (Malaysiaaktif) – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) laksanakan penerbangan membawa sebanyak pek darah dan spesimen klinikal dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kegunaan hospital di Sabah dan Sarawak.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Perhubungan Awam TUDM, Pesawat pengangkut C130H milik Tentera Udara Diraja Malaysia semalam telah melaksanakan penerbangan ke Sabah dan Sarawak bagi tujuan membawa bekalan darah dan spesimen klinikal tambahan kepada fasiliti KKM di kedua-dua negeri tersebut.
“Sebanyak 375 pek darah seberat 562 lbs dan 3698 lbs spesimen klinikal telah dibekalkan oleh KKM bagi kegunaan hospital-hospital di sana dalam usaha memberikan rawatan perubatan kepada pesakit yang memerlukan.
“Penerbangan ini memperlihatkan keprihatinan dan komitmen TUDM dalam melunaskan tanggungjawab sosial serta membuktikan bahawa TUDM sentiasa siap siaga untuk mengoperasikan aset-asetnya pada saat yang diperlukan,” menurut kenyataan tersebut, semalam.
Pesawat C130H dari No 20 Skn yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang berlepas kira-kira 11.00 pagi semalam dari Subang dan penerbangan ini dikendalikan oleh Mejar Muhammad Izwan Shah Azman TUDM sebagai juruterbang dan dibantu oleh Kapt Shahril Amin Dzulkefli TUDM selaku pembantu juruterbang bersama lima anak kapal.
“TUDM akan sentiasa memberikan bantuan dan sokongan penuh kepada kerajaan termasuklah dalam usaha menangani pandemik COVID-19 dan turut diharapkan seluruh rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab individu terutama dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang giat dilaksanakan penguatkuasaannya oleh Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19,” menurut kenyataan itu lagi.