
Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/Infografik KPKT
PUTRAJAYA, 28 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan memandang serius keperitan yang dihadapi golongan B40 di kawasan bandar terutamanya merekan yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam dengan memanjangkan pengecualian pembayaran sewa bagi PPR daripada sebulan yang diumumkan sebelum ini kepada enam bulan dengan jumlah kos sebanyak RM3 juta ditanggung oleh kerajaan.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pengecualian pembayaran sewa ini melibatkan 3,636 unit rumah PPR disewa atau transit di bawah pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Bagi unit sewa untuk milik, penangguhan pembayaran bulanan diberikan selama enam bulan bagi pembayaran balik pembiayaan bermula bulan April hingga September 2020, penangguhan pembayaran ini melibatkan kos RM5.7 juta bagi 4,649 unit rumah.
“Manakala bagi Perumahan Awam pula, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan memberi pengecualian yang sama yang memanfaatkan lebih 40,000 penyewa,” katanya ketika Perutusan Khas Pakej Rangsangan Ekonomi, semalam.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyeru kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan lain supaya memberikan pengecualian yang sama bagi meringankan beban penghuni PPR di negeri masing-masing.
“Kerajaan juga bersetuju memberikan pengecualian sewaan selama enam bulan untuk semua premis milik kerajaan persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria, kedai serbaneka dan lain-lain termasuk semua premis milik agensi dan badan berkanun kerajaan persekutuan,” tambahnya.