
Laporan/foto: Mahrani Mohamad (Kulim)
KULIM, 9 Apr (Malaysiaaktif) – Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kulim mengambil inisiatif menyediakan 3,700 pasang pelindung muka dalam masa sehari untuk dihadiahkan kepada barisan hadapan negara.
Pemangku Pegawai Daerah Kulim Datuk Abdul Ghafar Yahya, berkata sumbangan ini merupakan penghargaan yang dizahirkan kepada petugas barisan hadapan dalam menghadapi pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini.
“Usaha keras ADTEC Kulim harus dipuji dan dicontohi oleh semua rakyat Malaysia sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan petugas barisan hadapan negara yang sanggup menggadaikan keselamatan diri sendiri demi berkhidmat untuk kita semua.
“ADTEC Kulim menyasarkan sebanyak 7000 pelindung muka untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan negara,” katanya semasa penyerahan sumbangan pelindung muka kepada petugas barisan hadapan Daerah Kulim, di sini semalam.
Abdul Ghafar turut berharap semua petugas dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik demi negara tercinta ini untuk bersama-sama memerangi penularan wabak COVID 19 dan beliau juga melahirkan harapan supaya rakyat Malaysia bebas daripada virus ini sepenuhnya apabila menjelang bulan Ramadan.
-SH